Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Empat lelaki mengaku tidak bersalah merogol dan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 14 tahun di Mahkamah Sesyen Johor Bahru di sini hari ini.

Muhammad Sobri Muhammad Anuar, 25, Muhammad Rasyid Musa, 29, Muhammad Fikeri Mohd Sohad, 28 didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada jam 1 pagi pada 14 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa merogol seorang perempuan berusia 14 tahun tiga bulan ketika kejadian tanpa kerelaan mangsa.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah dikenakan sebatan.

Manakala Nazreen Ashraf Nordini, 30, pula didakwa melakukan amang seksual fizikal tanpa kerelaan mangsa sama pada jam 12 tengah malam pada 14 Mei lalu di Lot 2173, Kampung Oren Baru, Ulu Tiram, di sini.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017.

Ia memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi daripada 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan hukuman sebatan.

Kesemua tertuduh yang didakwa secara berasingan mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Noraida Sulaiman, membenarkan tiga tertuduh diikat jamin dengan RM18,000 manakala Nazreen Ashraf pula diikat jamin RM14,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nor Fadilah Johanuddin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguambela.

Siti Noraida menetapkan 2 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 23 Mei lalu, media melaporkan sekumpulan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes rogol membabitkan seorang remaja.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat, mangsa menyatakan dirogol oleh empat lelaki warga tempatan secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Ulu Tiram pada 14 Mei lalu.

Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Ulu Tiram, membuat tangkapan di kawasan Ulu Tiram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 11:45 AM