TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Izz Laily Hussein
TERTUDUH di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Seorang pengawal keselamatan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lapan pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang anak tirinya sejak 2020 hingga awal bulan ini.

Tertuduh yang berusia 47 tahun membuat pengakuan berkenaan selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman.

Bagi lapan pertuduhan itu, dia didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal terhadap mangsa sejak mangsa berusia 10 tahun hingga 13 tahun iaitu daripada 2020 hingga 1 Ogos lalu.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Ia dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang membawa hukuman tambahan penjara maksimum lima tahun dan sebat tidak kurang dua sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Ogos ini bagi penyediaan fakta kes serta jatuh hukum.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret di sini, pula tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM1,000 selepas mengaku bersalah bagi satu pertuduhan mendatangkan kecederaan ke atas seorang lagi anak tirinya yang juga kembar kepada mangsa pertama itu.

Majistret A Sharmini turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, lelaki itu memukul mangsa menggunakan tangan, kaki dan tali pinggang sejak 2020 hingga Jun lalu.

Pendakwaan bagi perbuatan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Bandar Uda Utama, Taman Perling di sini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Fadilah Johanuddin dan Shamira Mohd Luthfi Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2023 @ 3:24 PM