Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mengatasi isu lambakan graduan perguruan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, amat penting bagi KPT untuk tahu unjuran keperluan guru yang hanya boleh diberikan KPM.

Katanya, keperluan guru bukan sahaja dalam kerajaan tetapi juga diperlukan dalam sektor swasta.

"Adalah sangat penting untuk kita tahu unjuran yang hanya boleh diberikan oleh KPM dan memanglah hasrat kita untuk bekerjasama dengan lebih rapat dengan KPM supaya isu ini boleh dikurangkan.

"Ramai yang ambil kursus perguruan dan kita perlu lihat bahawa keperluan perguruan bukan sahaja diletakkan di bawah kerajaan, dia boleh juga diletakkan swasta dan jadi guru di luar negara.

"Saya juga sudah beritahu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) untuk beri tumpuan pengeluaran guru untuk Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar di sini, hari ini.

Semalam, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang, mendedahkan kecenderungan universiti awam serta swasta yang berlumba-lumba menawarkan pengajian pendidikan untuk melahirkan siswazah perguruan tanpa unjuran KPM boleh menyumbang kepada isu pengangguran dalam kalangan graduan bidang terbabit.

Ia berikutan rata-rata institusi pengajian tinggi negara ini membuat pengambilan pelajar ke program berkenaan berdasarkan kemampuan institusi itu sendiri sehingga mewujudkan keadaan penawaran melebihi permintaan.

Difahamkan, seramai 4,390 Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) menamatkan pengajian masing-masing antara 2011 hingga 2020, namun sebahagiannya dilaporkan masih tidak mendapat panggilan temu duga untuk ditempatkan di sekolah, manakala sebilangan kecil terpaksa memilih pekerjaan lain tanpa memerlukan kelayakan akademik.

Mohamed Khaled (tengah) melihat penternakan Ketam Nipah dalam pameran Semarak Komuniti Kota Tinggi di SK Sedili Besar. FOTO OMAR AHMAD
Mohamed Khaled (tengah) melihat penternakan Ketam Nipah dalam pameran Semarak Komuniti Kota Tinggi di SK Sedili Besar. FOTO OMAR AHMAD

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 12:57 PM