Mohamed Khaled menandatangani plak pada gimik perasmian Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM). FOTO BERNAMA
Mohamed Khaled menandatangani plak pada gimik perasmian Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM). FOTO BERNAMA
Mary Victoria Dass


Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyarankan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa turun padang membantu masyarakat menyelesaikan isu dihadapi terutama keterjaminan makanan.

Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, berbekalkan ilmu, kepakaran dan teknologi yang ada, IPT harus bergerak mencari jalan bagi mendekati masyarakat.

Menurutnya, ia bagi memastikan masyarakat menjadi semakin maju sekali gus mampu meningkatkan peranan dan sumbangan IPT.

"Memang sesuatu yang sangat diharapkan oleh kementerian supaya setiap universiti dalam negara meneruskan libat urus dengan masyarakat menerusi program 'outreach'.

"Ilmu yang didapati daripada penyelidik harus diaplikasikan oleh masyarakat," katanya ketika berucap ketika melancarkan Program Pembangunan Komuniti Usahawan Tani dan Inovasi Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Muszaide Makmor; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UPM, Profesor Dr Ismi Arif Ismail dan Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah, Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Tinggi Timur, Hashim Muhammad.

Mohamed Khaled berkata, antara perkara yang didepani pada ketika ini termasuk isu keterjaminan makanan yang menuntut kepakaran dan penyelidikan pakar di IPT bagi menyelesaikan isu seperti pertanian serta perladangan.

Menurutnya, dengan penyelesaian isu itu, ia mampu meningkatkan produksi dan pengeluaran hasil serta menjana pendapatan lebih kepada komuniti.

Beliau turut berharap agar Kota Tinggi akan menjadi makmal lapangan atau salah satu stesen pengembangan pertanian dan keterjaminan makanan UPM bagi melestarikan usaha ini.

"Saya rasa perlu untuk kita hubungkan masyarakat Kota tinggi yang sebahagian besarnya menjayakan aktiviti pertanian dan penternakan.

"Kita merasakan bahawa ini satu pendekatan yang terbaik dalam usaha kita membangun dan memajukan komuniti Kota Tinggi," katanya.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, ilmu dan kepakaran yang ada perlu disusun dengan cara yang sesuai dan mudah untuk dipraktikkan oleh masyarakat.

Khaled juga berharap agar program yang disusun bersifat menyentuh dan menguruskan keperluan setempat serta mampu memberi hasil kepada masyarakat.

"Perkongsian ilmu dari universiti juga harus bersifat jangka panjang dan berterusan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 September 2023 @ 3:38 PM