Izz Laily Hussein


Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meminta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menimbang atau mengubah suai pinjaman ditawarkan sekiranya pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan itu bagi membolehkan jenis pinjaman yang ditawarkan dapat disesuaikan dengan sistem itu jika dilaksanakan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

"Saya sudah meminta supaya pihak PTPTN melihat sejauh mana perlu diubah suai pinjaman yang perlu. Kita pertimbangkan," katanya ketika mengadakan lawatan Felda Bukit Easter di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Presiden Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya (UM), Nur Nazirah Abdullah dilaporkan berkata, yuran pengajian di universiti awam (UA) negara wajar dikurangkan sehingga ke 50 peratus sekiranya sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal dilaksanakan di IPTA.

Beliau dilaporkan berkata, setiap universiti awam perlu melihat keperluan pelajar iaitu akses fasiliti yang akan digunakan sekiranya pelaksanaan pembelajaran itu dilakukan.

Mengulas lanjut mengenai sistem pembelajaran hibrid dan jadual anjal itu, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, hanya kira-kira 90 peratus sahaja bidang pengajian yang akan ditawarkan sistem berkenaan.

"Kalau hibrid ataupun anjal, ia sebenarnya satu pilihan dan bukan diwajibkan untuk semua pelajar, ia hanya meliputi beberapa subjek yang sesuai dilakukan secara anjal," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, KPT menegaskan bahawa tawaran bagi kemasukan ke UA untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih belum dibuka.

Mohamed Khaled berkata, atas sebab itu, pihaknya menasihatkan semua pelajar lepasan SPM supaya berhati-hati sekiranya menerima tawaran kemasukan ke UA melalui pelbagai medium seperti aplikasi WhatsApp atau Telegram.

"Kita sedar ada banyak tawaran (kemasukan UA) dalam pelbagai medium dan saya suka maklumkan bahawa universiti awam dan politeknik belum ade keluarkan apa-apa tawaran kerana pihak UPU masih lagi dalam proses (pemilihan) permohonan yang dikemukakan.

"Apabila sampai masa, kita akan umumkan, secara rasmi, jadi saya berharap pelajar (lepasan SPM) berwaspada jika menerima tawaran melalui pelbagai medium aplikasi," katanya.

Menurut beliau, walaupun institusi swasta berkemungkinan menggunakan aplikasi seumpama itu bagi memaklumkan tawaran mereka, namun pelajar masih perlu membuat semakan bagi mendapatkan pengesahan bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

"Kalau institusi swasta, itu mungkin cara mereka, tapi kalau berlakunya kononnya isu penipuan atau penyamaran yang sebenarnya bukan tawaran sebenar dari institusi pengajian itu, pelajar boleh buat aduan.

"Jika diminta buat sebarang bayaran seperti yuran atau sebagainya, boleh hubungi terus universiti itu untuk tanya mengenai mesej yang diterima," katanya.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2023 @ 2:23 PM