Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan agensi kerajaan dalam pameran Program Kesihatan Madani bersama MegaKlinik QMS Kota Tinggi di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin beramah mesra dengan agensi kerajaan dalam pameran Program Kesihatan Madani bersama MegaKlinik QMS Kota Tinggi di sini, hari ini. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Kota Tinggi: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyerahkan kepada pengurusan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam cara menunjukkan solidariti terhadap rakyat negara Palestin yang dizalimi ketika ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata setiap universiti mempunyai garis peraturan dan kebebasan masing-masing.

Katanya, KPT tidak mengawal dan menentukan semua perkara terhadap pihak universiti seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

"Kena faham, di KPT kita bukan mengawal dan menentukan semuanya di universiti. Setiap Universiti ada peraturan dan panduan masing-masing, kita bukan sekolah.

"KPT hanya menguruskan koordinasi universiti, hal lain-lain universiti masing-masing ada kebebasan mereka, maknanya (universiti) boleh menunjukkan simpati masing-masing cara mereka.

"Kita hanya beritahu ada usaha untuk jayakan Tabung Kemanusiaan Palestin, itu sahaja. Apa yang berlaku di KPM tidak semestinya berlaku di KPT," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Kesihatan Madani dan pameran agensi bersama MegaKlinik QMS Kota Tinggi di sini, hari ini.

Kelmarin, KPM akan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah KPM bermula esok hingga 3 November ini bagi menyahut pendirian kerajaan untuk terus bersama-sama mempertahankan hak dan kebebasan rakyat Palestin.

KPM menerusi kenyataan memaklumkan program itu akan diadakan di sekolah, kolej vokasional, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru di seluruh negara.

Bagaimanapun dalam kenyataan berasingan hari ini, KPM memaklumkan melarang sebarang penggunaan replika senjata, ikon dan simbol yang mengandungi elemen provokasi serta konfrontasi sepanjang Minggu Solidariti Palestin.

Kenyataan KPM menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang aktiviti berbentuk ekstremisme.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 2:29 PM