KEPTEN Maritim Iskandar Ishak (kanan) menunjukkan sebahagian rokok kretek yang berjaya di rampas ketika sidang media di pejabatnya tadi. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEPTEN Maritim Iskandar Ishak (kanan) menunjukkan sebahagian rokok kretek yang berjaya di rampas ketika sidang media di pejabatnya tadi. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan merampas 4.27 juta batang rokok cuba diseludup ke negara ini bernilai kira-kira RM2.95 juta, Isnin lalu.

Rampasan dibuat selepas APMM menahan bot digunakan penyeludup rokok terbabit di kedudukan 0.07 batu nautika di barat daya Kampung Batu Laut, Tanjung Sepat, Selangor jam 1.30 pagi.

Pengarah APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, operasi dijalankan hasil maklumat risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (Swasla) yang mengesan pergerakan mencurigakan di lokasi berkenaan.

"Maklumat berkaitan pergerakan itu diterima jam 11.30 malam dan kami terus menggerakkan aset APMM ke sedang melaksanakan rondaan Op Murni/Op Tiris ke lokasi.

"Tiba di lokasi, kami mengesan kehadiran sebuah bot dinaiki tiga individu. Suspek terus memecut sebaik menyedari kehadiran kami," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kuala Linggi di sini, hari ini.

Menurut Iskandar, suspek memecut ke kawasan bakau sebelum melarikan diri ke hutan bakau dan meninggalkan bot terbabit.

"Pemeriksaan di dalam bot terbabit menemui rokok pelbagai jenama. Keseluruhan rampas dianggarkan bernilai RM3.15 juta.

"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:15 PM