TANGKAP layar video tular kejadian buaya menyambar kambing penduduk. Video Ihsan penduduk.
TANGKAP layar video tular kejadian buaya menyambar kambing penduduk. Video Ihsan penduduk.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Saya langsung tidak perasan kelibat buaya itu yang tiba-tiba saja muncul dari air dan terus 'ngap' (menyambar) seekor kambing di hadapan saya dan menariknya ke lubuk," kata pengembala kambing, Muhammad Nur Iman Ahmad, 24, ketika ditemui di Kampung Tengah, Klebang Besar, hari ini.

Katanya, kejadian itu menyebabkan majikannya, Muhammad Hafiz Haiqal Abdullah, 28, kerugian kira-kira RM2,000 selepas kambing betina baka Boer berusia lebih dua tahun itu dibaham buaya dipercayai spesies buaya tembaga di tebing Sungai Malim dan Pintu Kawalan Air Pasang Surut Klebang, di sini, kira-kira 5.30 petang semalam.

"Bila dilepaskan kambing ini biasanya akan meragut di tepi sungai, manakala buaya akan muncul tiga bulan sekali kerana ia bersarang dekat muara.

"Sebelum ini memang ada buat laporan kepada pihak berwajib untuk tindakan tetapi buaya gagal dikesan.

"Kami juga bimbang keselamatan pemancing kalangan kanak-kanak dan orang tua yang mungkin tidak biasa di kawasan ini," katanya sambil memaklumkan kambing terbabit baru melahirkan dua anak yang kini terpaksa diberi susu botol.

Sementara itu, Muhammad Hafiz Haiqal berkata, kejadian semalam adalah kali ketiga ternakannya diserang buaya sejak Disember tahun lalu.

Katanya, dia merayu pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera melakukan usaha bagi menangkap reptilia itu sebelum perkara tidak diingini berlaku.

Menurutnya, dia memelihara 60 ekor kambing dari jenis bebiri dan boer untuk jualan sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Sebahagian kambing jantan dan betina yang dijadikan induk akan dilepaskan meragut di kawasan tebing sungai manakala sebahagian yang diternak untuk aqiqah dan korban diberi makan di dalam kandang.

"Memandangkan kawasan tepi sungai ini bukan saja jadi padang ragut, malah tumpuan pemancing saya berharap pihak Perhilitan bertindak segera demi keselamatan penduduk," katanya.

Dalam perkembangan sama, ketika tinjauan dilakukan terdapat pegawai Perhilitan negeri turut meninjau lokasi kejadian bagi menentukan tindakan susulan.

Semalam, tular video memaparkan kelibat buaya yang membaham kambing terbabit dirakam penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 9:57 PM