Lokasi bot nelayan ditahan pasukan APMM ketika menjalankan Op Naga Timur. FOTO JUWAN RIDUAN
Lokasi bot nelayan ditahan pasukan APMM ketika menjalankan Op Naga Timur. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana beroperasi dengan melanggar syarat sah lesen, 7.15 malam semalam.

Pada Op Naga Timur itu, bot terbabit ditahan di kedudukan 4.4 batu nautika barat laut Tanjung Belijung, Pulau Sepanggar.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan Laksamana Pertama Mohd Rosli Abdullah berkata, bot nelayan itu dikesan selepas pihaknya menerima maklumat menerusi Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) berhubung kehadiran sebuah bot yang mencurigakan.

"Tiba di lokasi, bot itu sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam kedudukan kurang enam batu nautika dari pesisir pantai.

"Pemeriksaan mendapati bot dikendalikan seorang tekong warga tempatan berusia 46 tahun bersama enam awak-awak lelaki warga Indonesia, berusia 24 hingga 30 tahun," katanya pada kenyataan hari ini.

Bot nelayan terbabit melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 iaitu menunda pukat tunda kurang enam batu nautika dari pesisir pantai.

Mohd Rosli berkata, bot, tekong serta awak-awak kemudiannya diiring ke Jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan lanjut.

Komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah di laut diminta menghubungi talian 088-270185 dan MERS 999.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 5:17 PM