Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Kelicikan lelaki warga Indonesia mengaburi kegiatan haramnya menyeludup dadah dengan berselindung sebagai pekerja ladang terbongkar apabila diberkas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim, Iskandar Ishak berkata, suspek berusia 38 tahun ditahan kira-kira 2.30 pagi di Pantai Kundur, Tanjung Kling, dekat sini, ketika menunggu untuk memunggah dadah ke dalam bot pancung dinaiki empat lelaki disyaki warga Indonesia.

Menurutnya, penahanan itu dibuat aset APMM yang sedang melaksanakan rondaan Op Murni/Op Tiris susulan risikan mengenai kehadiran sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di perairan Tanjung Kling kira-kira 1 pagi.

"Sebaik tiba di lokasi, bot suspek yang berada di persisir Pantai Kundur berjaya meloloskan diri dengan memecut laju bot pancung dan meninggalkan seorang rakan mereka.

"Kita merampas sebuah beg pakaian berisi tujuh bungkusan teh Cina berwarna merah dan tiga bungkusan berwarna putih, semuanya mengandungi ketulan mampat disyaki dadah syabu seberat 10 kilogram bernilai RM400,000.

"Semua dadah itu disyaki cuba diseludup ke Indonesia dan dijangka mampu dibekalkan kepada 20,000 penagih," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Melaka dan Negeri Sembilan, di Kuala Linggi, di sini, hari ini.

Iskandar berkata, semakan mendapati suspek mendakwa bekerja sebagai buruh ladang itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Katanya, lelaki itu kini direman 14 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1963.

"Hasil siasatan kita percaya suspek sudah beberapa kali menyeludup dadah dengan menjadikan Malaysia sebagai transit.

"Kita masih menyiasat modus operasi suspek yang dipercayai mendapat bekalan dari negara luar dan tidak menolak kemungkinan dadah itu untuk diseludup ke negara lain dengan menjadikan Malaysia dan Indonesia sebagai transit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 12:49 PM