ADON (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
ADON (tengah) bersama pegawainya menunjukkan rokok seludup yang dirampas. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Kota Tinggi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup rokok dianggar bernilai lebih RM5.3 juta di perairan Pengerang di sini, kira-kira 2 pagi semalam.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Adon Shalan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Laut Maritim (SWASLA) bahawa terdapat kapal dari arah Selat Singapura menuju ke kawasan had pelabuhan (OPL) Tanjung Ayam yang disyaki melakukan aktiviti mencurigakan.

"Bertindak atas maklumat itu, kita berjaya mengesan bot pertukaran barang KM Karya Jaya III di kedudukan kira-kira 3.7 batu nautika Selatan Tanjung Ayam.

"Ketika dikesan terdapat dua bot pancung sedang menghampiri kapal berkenaan namun kedua-dua bot pancung berkenaan berjaya memecut ke arah perairan Indonesia bagi meloloskan diri," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat APMM Daerah Maritim 7 Tanjung Sedili di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kapal yang berdaftar di Dumai, Indonesia itu membawa 11 krew warga negara Indonesia berusia antara 28 hingga 45 tahun bersama muatan kira-kira 1,162 kotak rokok atau 58,100 karton rokok putih berjenama Harmony, Luffman dan RMX Unlimited.

"Semua rokok yang dirampas dianggar bernilai RM5,302,206 termasuk cukai keseluruhan iaitu cukai import eksais dan cukai jualan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 2:09 PM