Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Selangor memintas dan menghalau bot KM Sinar Utama dari Indonesia yang cuba menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI), 4 pagi tadi.

Pengarah APMM Negeri Selangor, Kepten Maritim Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (PUSOP) menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan bot disyaki membawa pati keluar dari Tanjung Balai, Asahan kira-kira 9 malam tadi.

Katanya, bot berkenaan dipercayai membawa kira-kira 40 pati warganegara Indonesia dan menuju ke perairan Selangor.

"Kira-kira 12.20 tengah malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia mengesan bot sasaran yang mencurigakan itu sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

"Berikutan itu bot PENGGALANG 10 (Maritim) yang dalam tugasan OP BENTENG digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BOT dari Indonesia yang cuba menyeludup masuk 40 PATI dipintas. FOTO ihsan APMM
BOT dari Indonesia yang cuba menyeludup masuk 40 PATI dipintas. FOTO ihsan APMM

Mohd Rosli berkata, kira-kira 2 pagi tadi, PENGGALANG 10 dan PR4 tiba di lokasi dan bertembung bot dengan nama KM Sinar Utama yang membawa pati lalu mengarahkan untuk berhenti.

Bagaimanapun katanya, tekong KM Sinar Utama bertindak agresif memecut dan melakukan pergerakan berbahaya bertujuan meloloskan daripada ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

"PENGGALANG 10 dan PR4 terus menghalang tindakan KM Sinar Utama dengan menghimpit dan mengejar sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai.

"Dalam tempoh kejar buru kira-kira satu jam tiga puluh minit itu, KM Sinar Utama masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.

"PENGGALANG 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi KM Sinar Utama keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 3:02 PM