(DARI kanan) Kevin, Tan dan Caroline dihukum penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut dan menyimbah cat merah pada rumah seorang peniaga, Mac lalu.
(DARI kanan) Kevin, Tan dan Caroline dihukum penjara lapan bulan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut dan menyimbah cat merah pada rumah seorang peniaga, Mac lalu.
Sarah Zulkifli


SEORANG ceti haram atau Along menangis selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini menjatuhi hukuman penjara lapan bulan terhadapnya kerana mengugut dan menyimbah cat merah pada rumah seorang peniaga, Mac lalu.

Tertuduh, Tan Zei Hung, 30, dilihat bercucuran air mata di dalam kandang tertuduh selepas prosiding tamat di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Terdahulu, Tan mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dan mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tangkapan pada 11 Mac lalu.

Turut menerima hukuman sama, pasangan kekasih, Kevin Chin Teck Leong, 28 dan Caroline Anak Normadiah, 30.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa mengugut mangsa berusia 61 tahun dengan meninggalkan ugutan dan menyimbah cat merah di sebuah pangsapuri di Seksyen 16, Petaling Jaya pada 1.30 pagi 11 Mac lalu.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 29B(1) Akta Pemberi Wang 1951 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum 15 bulan atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berulang boleh disebat.

Berdasarkan fakta kes, pada 11 Mac lalu, pengadu yang juga peniaga mengatakan rumahnya disiram cat merah sebelum dia memberitahu anaknya pernah bertanya pinjaman Along, namun tidak membuat sebarang pinjaman.

Bimbang dengan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis dan peniaga itu sekali lagi membuat laporan berhubung rumahnya disimbah cat merah dan dibakar pula.

Hasil analisis telefon bimbit milik semua tertuduh, terdapat satu rakaman video sama dengan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di rumah pengadu.

Sementara itu, tiga tertuduh sama turut didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar rumah mangsa sama.

Tan dan Kevin tidak mengaku bersalah, namun Caroline tidak memahami pertuduhan berkenaan sebaik dibacakan di hadapan Hakim Azwarnida Affandi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama didakwa melakukan khianat dengan membakar rumah peniaga di tempat sama jam 4.30 pagi 20 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 29 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin dan Norhashimah Hashim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2019 @ 4:28 PM