Izz Laily Hussein

Kulai: Suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman sebuah rumah, tahun lalu.

Tertuduh, Yaw Chern Fong, 26, dan isterinya, Phang Siew Wei, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat merah pada pintu pagar dan halaman rumah milik seorang wanita membabitkan kerugian kira-kira RM200.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di Jalan Sentosa 10, Taman Sentosa di sini, jam 7.30 pagi, 30 Disember 2022 itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Edelynn Wong memberitahu mahkamah bahawa perbuatan tertuduh itu adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin, malah mereka berkemungkinan akan mengganggu mangsa jika dibenarkan ikat jamin.

"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah ingin membenarkan ikat jamin terhadap mereka, pihak pendakwaan menawarkan jumlah jaminan yang tinggi iaitu RM20,000 setiap seorang," katanya.

Peguam P Thomasjayaraj yang mewakili pasangan berkenaan kemudian memohon jumlah jaminan yang lebih rendah atas alasan anak guamnya itu mempunyai tanggungan iaitu empat anak yang masih kecil.

"Mereka bekerja sendiri untuk mendapatkan pendapatan bagi menanggung keluarga. Bapa kepada tertuduh kedua (Chern Fong) akan menjadi penjamin dan diharap jumlah jaminan yang dibenarkan tidak membebankan mereka," katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Februari depan.

CHERN Fong (kanan) dan Siew Wei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein
CHERN Fong (kanan) dan Siew Wei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini. FOTO Izz Laily Hussein

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 January 2023 @ 11:36 AM