Lai didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan kegiatan ceti haram. FOTO Abdullah Yusof
Lai didakwa dengan dua pertuduhan membabitkan kegiatan ceti haram. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


Ipoh: Seorang pembantu restoran didakwa di dua mahkamah berasingan di sini hari ini dengan dua pertuduhan membabitkan kegiatan ceti haram pada 12 dan 20 Mac lalu.

Tertuduh Lai Yon Thong, 28, didakwa di Mahkamah Sesyen dengan tuduhan menjalankan perniagaan memberi pinjam wang tanpa lesen kepada Andy Chow Hon Yin, 31, di Desa Bercham pada 12 hingga 15 Mac lalu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.

Pertuduhan kedua Lai didakwa di Mahkamah Majistret atas kesalahan melakukan perbuatan khianat merosakkan harta dengan simbahan cat merah terhadap rumah mangsa yang sama pada 20 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan juga dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Siti Hafiza Jaafar.

Tertuduh yang diwakili peguam Manjit Kaur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan dan minta dibicarakan.

Bagi pertuduhan pertama yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Azriah Zaid, Lai dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarah menyerahkan pasport dan dilarang mengganggu mangsa.

Pertuduhan kedua yang dijalankan Pegawai Pendakwa Inspektor Noor Aza Fazrina Sudarman, dia dikenakan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kedua-dua kes kemudian ditetapkan untuk sebutan semula pada 25 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 2:12 PM