LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Pemilik hartanah di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) boleh mengemukakan permohonan bantahan kadar cukai pintu baharu sehingga 31 Mei ini.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, MPS mengambil maklum kelewatan Notis Menyemak Senarai Nilaian Baharu yang diterima segelintir penduduk seperti laporan akhbar ini, Khamis lalu.

"Untuk makluman, MPS telah mengeluarkan notis senarai nilaian baharu kepada 230,000 pemilik pegangan dalam kawasan MPS pada 1 April 2024.

"Notis ini dikeluarkan selaras dengan Seksyen 141, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

"MPS mengambil maklum perkara ini (penduduk terima notis lewat) dan memanjangkan tempoh bantahan sehingga 31 Mei 2024," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas mengenai rungutan segelintir penduduk di kawasan MPS yang mendakwa menerima notis berkenaan pada saat akhir tarikh bantahan yang dijangka berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Zin berkata, notis itu juga memaklumkan semakan semula nilaian cukai taksiran premis atau pegangan selepas kali terakhir dilaksanakan pada 1992.

"Semakan semula ini adalah berdasarkan nilaian semasa menggunakan kadar sewa terkini.

"Pihak majlis ingin memaklumkan, senarai nilaian baharu ini masih di peringkat menyemak senarai nilai baharu dan mengemukakan bantahan dan tertakluk kepada kelulusan dari kerajaan Selangor," katanya.

Pemilik hartanah boleh membuat bantahan dengan mengimbas kod QR yang disertakan di Notis Menyemak Senarai Nilaian Baharu.

Borang bantahan juga boleh dimuat turun menerusi laman web rasmi MPS di https://www.mps.gov.my sebelum di hantar ke Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta melalui emel [email protected]

Kelmarin, Harian Metro melaporkan rungutan penduduk di kawasan MPS mendakwa menerima Notis Menyemak Senarai Nilaian Baharu yang kadarnya bakal naik tahun depan.

Dakwa penduduk notis yang diterima saat akhir tarikh bantahan itu menyebabkan penduduk tidak mempunyai masa untuk mengemukakan bantahan.

Ini kerana dakwa mereka, kadar baharu berkenaan seolah-olah menekan penduduk ketika keadaan ekonomi tidak menentu manakala harga barangan semakin meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mei 2024 @ 3:47 PM