Izz Laily Hussein

Kota Tinggi: Dua senapang angin, senapang patah dan sepucuk pistol antara yang dirampas daripada tiga lelaki di Gugusan Adela di sini, awal pagi tadi.

Tiga lelaki berusia antara 33 hingga 39 tahun itu ditahan berhampiran sebuah masjid di kawasan kira-kira 1 pagi, selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pemeriksaan dilakukan menemukan pistol Beretta Gardone VT yang asli, satu kelopak berisi empat butir peluru 9mm, pisau dan senapang patah buatan sendiri dengan tiga butir peluru penabur

"Turut ditemui, satu plastik lutsinar disyaki ganja seberat 0.9 gram, dua balutan aluminium merah disyaki Eramin 5 seberat 0.44 gram," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora.

Kamarul Zaman Mamat menunjukkan senjata api yang dirampas daripada tiga lelaki di sini, awal pagi tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN
Kamarul Zaman Mamat menunjukkan senjata api yang dirampas daripada tiga lelaki di sini, awal pagi tadi. FOTO IZZ LAILY HUSSEIN

Susulan tangkapan, beliau berkata, polis menyerbu sebuah rumah di Felda Tunggal di sini dan menjumpai dua lagi senapang angin buatan sendiri, sebutir peluru penabur, tiga kelongsong peluru penabur dan sepuluh biji guli.

Pihak polis menyiasat tujuan suspek memiliki semua senjata api itu termasuk melihat sama ada ia digunakan untuk melakukan aktiviti pemburuan haram.

"Semakan mendapati dua daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dadah, manakala seorang berstatus dikehendaki polis sejak 2016.

"Ujian saringan air kencing mendapati semua mereka positif dadah dan reman masing-masing selama tiga hari hingga Jumaat," katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960; Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta Seksyen 6 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 6:05 PM