SENAPANG dan peluru yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
SENAPANG dan peluru yang dirampas. FOTO Ihsan Polis.
Mohd Sabran Md Sani


SUAMI isteri dan lelaki bekerja sebagai penjawat awam ditahan bersama lima senapang dan peluru penabur dalam dua serbuan berasingan di Kota Tinggi, pada semalam dan Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Ahsmon Bajah berkata, penahanan mereka hasil serbuan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi yang bermula 3.30 petang Selasa.

“Tangkapan pertama membabitkan suami isteri berusia 47 tahun dan 55 tahun di sebuah pondok dalam Ladang Kelapa Sawit Poh Cong, Jalan Kota Tinggi-Johor Bahru.

“Mereka ditahan bersama empat laras senapang patah dan satu laras senapang angin buatan sendiri.

“Turut dirampas 23 butir peluru penabur dan dua bungkusan guli,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahsmon berkata, dalam soal siasat, kedua-duanya mengaku memiliki dua daripada lima senjata yang dirampas, manakala selebihnya didakwa milik rakan mereka.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, pihaknya berjaya menahan rakan suspek iaitu lelaki berusia 41 tahun di rumahnya di Taman Sri Saujana pada 2.38 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati mereka memperoleh senjata itu pada harga RM700 yang digunakan untuk memburu.

“Dalam masa sama, kita masih menyiasat individu yang bertanggungjawab membuat senjata terbabit,” katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) dan Seksyen 9 Akta Senjata (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 36 (1) dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 5:23 PM