SHAFIEN tunjuk selaras daripada empat senjata api yang dirampas daripada suspek di IPD Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
SHAFIEN tunjuk selaras daripada empat senjata api yang dirampas daripada suspek di IPD Gua Musang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

Gua Musang: Polis menahan lima lelaki dan merampas empat laras senjata api dalam tiga serbuan berasingan di sini, Machang dan Pasir Mas, bulan lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mereka yang ditahan berusia antara 30 hingga 59 tahun dan mempunyai hubungan kekeluargaan serta sebagai pekerja dan majikan.

"Tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai buruh balak di tapak pembalakan di Kampung Meranto, Gua Musang, 21 Februari lalu.

"Hasil siasatan dan pemeriksaan, kami menemui satu laras senapang patah dan 17 butir peluru," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang, di sini, hari ini.

Shafien berkata, soal siasat ke atas suspek pertama membawa kepada tangkapan seorang lelaki yang juga majikannya berusia 32 tahun.

Katanya, lelaki berkenaan dipercayai memiliki tiga laras senjata api yang dipercayai dibeli di sekitar negeri ini dengan individu yang dikenali.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga senjata itu dibuang ke dalam sungai di Jambatan Ibrahim Ali ,Tendong, Pasir Mas oleh bapa dan adik ipar majikan suspek terbabit.

"Ia bertujuan melupuskan bahan bukti tetapi senapang berkenaan ditemui semula hasil bantuan Unit Selam Skuba Pasukan Polis Marin Wilayah, Kuantan, Pahang baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata, senapang yang dijumpai dalam sungai itu adalah senapang jenis AK 47, senapang patah dan shot gun.

"Mengikut siasatan awal semua suspek dipercayai memiliki senjata api untuk tujuan kegunaan sendiri, termasuk memburu secara haram," katanya.

Menurutnya, semua suspek masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api dan Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki peluru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 5:56 PM