Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: Pelaksanaan projek menaiktaraf Lebuhraya Pasir Gudang secara keseluruhan bakal membantu penyuraian trafik terutama pada waktu puncak.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan yang terbahagi kepada empat fasa yang bakal memanfaatkan pengguna jalan raya yang berulang-alik ke kawasan perindustrian, pusat pentadbiran Kota Iskandar serta penduduk di kawasan perumahan di sepanjang laluan berkenaan.

Menurutnya, peruntukan untuk kerja penyenggaraan jalan bagi keseluruhan laluan persekutuan di Johor bagi tahun ini membabitkan RM107.34 juta.

"Ia termasuk kerja senggaraan Lebuhraya Pasir Gudang pada tahun ini membabitkan peruntukan sejumlah RM5.24 juta.

"Kita tidak menyatakan kesesakan tidak akan berlaku namun kita berharap projek ini dapat mengurangkan kesesakan apabila laluan lebih lebar dan dapat menampung bilangan kenderaan yang banyak terutama pada waktu puncak.

"Bagi tambahan peruntukan kita dengar permohonan dari kerajaan negeri, kementerian ini hanya melaksanakan kerja berdasarkan kelulusan peruntukan," katanya pada sidang media di sini, hari ini selepas meninjau perkembangan kerja naik taraf dan penyenggaraan laluan itu.

Alexander Nanta Linggi (kanan) meninjau Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang FT17, di Jejantas Lebuhraya Pasir Gudang, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Alexander Nanta Linggi (kanan) meninjau Projek Menaik Taraf Lebuhraya Pasir Gudang FT17, di Jejantas Lebuhraya Pasir Gudang, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Alexander berkata, ketika ini kerja pelebaran membabitkan laluan sepanjang 5.5 kilometer itu bagi kerja naik taraf Fasa 2B lebuh raya berkenaan sedang giat dijalankan.

"Fasa 2B iaitu dari persimpangan Bandar Seri Alam atau Taman Rinting ke persimpangan Pasir Gudang dalam pembinaan dan dijangka siap pada Oktober 2025.

"Fasa terakhir iaitu Fasa 3 membabitkan laluan dari Persimpangan Bertingkat Perling ke susur Lebuh Raya Utara Selatan juga diluluskan di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-12.

"Makmal Pengurusan Nilai peringkat Kajian Nilai bagi projek Fasa 3 dijangka akan dilaksanakan pada Ogos 2023.

"Kerja-kerja menaik taraf laluan Lebuhraya Pasir Gudang bagi kedua-dua Fasa 2B dan Fasa 3 ini akan membabitkan pelebaran jalan sepanjang 12.5 kilometer termasuk membaik pulih dan menaik taraf struktur jejambat, jambatan dan jejantas sedia ada.

"Projek ini adalah kesinambungan daripada projek menaik taraf Fasa 1 yang siap pada 2016 dan Fasa 2A yang siap pada 2018," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja penyenggaraan jalan yang merangkumi skop kerja penyenggaraan rutin serta pembaikan berkala turapan dan jambatan turut dilaksanakan untuk keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 7:28 PM