FADILLAH (duduk, tengah) ketika melakukan gimik pecah tanah . FOTO Essa Abu Yamin
FADILLAH (duduk, tengah) ketika melakukan gimik pecah tanah . FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Projek menaik taraf laluan FT050 yang menghubungkan daerah Batu Pahat-Ayer Hitam-Kluang adalah penting bagi mengurangkan jumlah kemalangan maut di laluan yang direkodkan sebagai lokasi kemalangan tertinggi di Malaysia itu.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM250 juta bagi menaik taraf laluan berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK-11).

Katanya, projek berkenaan bermula 26 Oktober lalu dan dijangka siap pada 25 Oktober 2024 untuk mengurangkan kes kemalangan serta memastikan aliran trafik lebih lancar dan terkawal.

"Dari 2015 sehingga 2020, terdapat 405 kemalangan dengan 227 kemalangan maut dicatatkan di laluan FT050.

"Laluan yang menghubungkan pekan Parit Raja ke Plaza Tol Ayer Hitam itu juga direkodkan sebagai laluan berkapasiti tinggi dan sering berlaku kesesakan teruk terutama pada musim cuti perayaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontraktor dan Pecah Tanah bagi pelaksanaan Projek Membina Median, Pusingan U Dan Kerja-Kerja Berkaitan di Jalan Batu Pahat- Ayer Hitam-Kluang FT050 di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan Dan Infrastruktur Solihan Badri.

Menurut Fadillah, kajian trafik yang dijalankan tahun lalu merekodkan 28,298 trafik dalam masa 16 jam dan 2,279 trafik dalam waktu puncak 5 petang hingga 6 petang.

"Jumlah trafik di laluan berkenaan adalah tertinggi di daerah Batu Pahat berbanding kawasan lain di daerah yang sama.

"Projek berkenaan membabitkan pembinaan pembahagi jalan sepanjang 13.5 kilometer dengan tiga pusingan U bagi kenderaan berat, pelebaran bahu jalan sedia ada dari jalan tunggal empat lorong kepada jalan berkembar empat lorong 13.5 kilometer.

"Ia membabitkan kerja menaik taraf lima persimpangan (Persimpangan Parit Sempadan, Pekan Parit Raja, Parit Botak, Pekan Ayer Hitam dan Bandar Baru Ayer Hitam), membina tiga jejantas baharu untuk pejalan kaki dan laluan motosikal dan menaik taraf sistem perparitan dan pembetung sedia ada," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Kerja Raya akan meminta pihak pasukan projek untuk menyediakan saluran aduan bagi penduduk sekitar dan pengguna jalan raya yang ingin menyalurkan sebarang aduan dan cadangan ketika projek berkenaan berjalan.

"Kita akan wujudkan ruangan untuk mereka buat aduan dan cadangkan sekiranya ada aduan atau cadangan bagi memastikan projek menaik taraf ini dapat dilakukan dengan baik dan pasukan ini dapat berbincang untuk atasi sebarang kesulitan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 1:52 PM