Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kerja Raya (KKR) berada di landasan tepat bagi memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo di bahagian Sarawak siap sepenuhnya tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan kini sudah mencapai sebanyak 98.91 peratus.

"Sedikit lagi yang perlu dibuat perubahan kepada reka bentuknya, ini perlu kerana masalah tanah di lokasi itu. Itulah yang boleh dikatakan mengapa kita belum mencapai 100 peratus lagi.

"Jadi keseluruhannya seperti mana yang saya sebutkan tadi 98.91 peratus siap di Sarawak," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Tahun 2024 Serta Perhimpunan Bulanan Bersama Menteri Kerja Raya 2024 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, di sini, hari ini.

Alexander berkata, untuk Lebuhraya Pan Borneo di bahagian Sabah Fasa 1A pula, sebanyak 87 peratus penyiapan dicapai bagi 15 pakej kerja yang sedang berjalan.

"Sementara itu, untuk projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang menghubungkan Banting dan Taiping pula bakal dibuka sepenuhnya Mac ini," katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata, KKR akan melaksanakan sebanyak 233 projek membabitkan 38 projek baharu, 181 projek sambungan dan 14 projek penyenggaraan pada tahun ini.

Menurutnya, peruntukan penyenggaraan yang diluluskan menerusi Belanjawan 2024 adalah sebanyak RM2.8 bilion dan jumlah itu adalah pertambahan RM1 bilion berbanding tahun lalu.

"Kementerian Kewangan juga meluluskan sejumlah RM30 juta untuk diagihkan kepada 115 jurutera daerah dengan RM200 ribu setiap daerah bagi menangani segera aduan kerosakan kecil dan luar jangka di Jalan Persekutuan.

"Kerajaan juga meluluskan sebanyak RM100 juta bagi menyelenggara dan menggantikan lampu jalan kepada jenis LED yang dijangka dapat memberikan penjimatan bil elektrik sebanyak 60 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2024 @ 1:02 PM
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap ketika sidang media pada majlis amanat tahun 2024 serta perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. FOTO ASYRAF HAMZAH
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bercakap ketika sidang media pada majlis amanat tahun 2024 serta perhimpunan bulanan Kementerian Kerja Raya di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. FOTO ASYRAF HAMZAH