Bangkok: Seorang nenek berusia 83 tahun ditahan polis selepas dia menikam anak lelakinya yang mabuk sehingga mati kelmarin.

Min Namchan menikam anaknya, Kul Namchan, 53, selepas melihat lelaki itu membawa pisau dan menuju ke arahnya.

Jurucakap polis, Rakchart Prasoppol berkata, Min menikam anaknya kerana menyangka mangsa mahu menyerangnya.

Ujarnya, kejadian berlaku ketika Min berehat di kediamannya di daerah Lao Kwan sebelum dia melihat Kul menghampirinya sambil memegang pisau.

“Min bimbang Kul mahu membunuhnya kerana lelaki itu mabuk.

“Wanita itu terus mengambil pisau berhampiran dan menikam dada anaknya,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, Min menghubungi polis dan menunggu polis tiba di kediamannya.

“Apabila polis tiba, Kul didapati terbaring berlumuran darah dan sudah meninggal dunia.

“Wanita itu ditahan untuk siasatan lanjut dan pihak pendakwaraya belum memutuskan untuk mendakwanya atau tidak,” jelasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 8:26 AM