GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Berang bekas teman wanitanya enggan meneruskan hubungan menyebabkan seorang mekanik ditahan polis semalam, selepas dia dipercayai mengugut mangsa dengan pisau.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku 12 tengah hari Sabtu lalu apabila remaja perempuan berusia 17 tahun pergi ke rumah suspek yang berusia 19 tahun di Taman Ukay Bistari.

Beliau berkata, suspek menuntut ganti rugi perbelanjaan ketika mereka menjadi pasangan kekasih berjumlah RM700.

Menurutnya, ketika di dalam rumah, suspek bertindak kasar dengan menolak mangsa lalu mengacukan dua pisau berlainan sebanyak dua kali.

"Suspek juga mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana pengadu tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek juga merampas telefon bimbit dan menghempaskan ke lantai menyebabkan telefon remaja terbabit rosak.

"Susulan itu, pada jam 8.30 malam tadi, sepasukan pihak polis membuat tangkapan ke atas suspek.

"Turut dirampas, sebatang cota, dua pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian," katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau juga dapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah.

"Reman terhadap suspek akan dipohon hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 10:05 AM