Lelaki warga asing maut selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan kedai runcit di Taman Pandan Jaya. FOTO Ihsan Polis
Lelaki warga asing maut selepas terbabit dalam pergaduhan di hadapan kedai runcit di Taman Pandan Jaya. FOTO Ihsan Polis
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Polis menahan empat lelaki dan seorang wanita warga asing yang terbabit dalam pergaduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga asing dalam serbuan berasingan di Kuantan, Pahang dan Pandan Indah, di sini, Jumaat lalu.

Menurut sumber, kejadian pergaduhan terbabit berlaku pada 10 Disember lalu di hadapan kedai runcit di Taman Pandan Jaya, di sini, dipercayai bermula pertengkaran disebabkan mabuk.

"Kejadian berlaku ketika rakan mangsa ingin menutup kedai runcit itu diserang suspek sebelum mangsa yang melihat kejadian itu datang membantu.

"Berlaku pergaduhan ketika itu sebelum mangsa dan rakannya ditikam suspek yang kemudian melarikan diri menyebabkan mangsa maut manakala rakannya parah," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi mengesahkan kejadian itu dan suspek ditahan bagi membantu siasatan.

"Suspek ditahan pada jam 10 malam Jumaat lalu dalam beberapa siri serbuan di Jalan Kemaman, Kuantan, Pahang dan kawasan Pandan Indah.

"Polis menahan empat lelaki warga asing berusia 23 hingga 51 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 19 tahun," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek direman sehingga 22 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 3:15 PM