GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Ampang Jaya: Tindakan ceti haram atau along memecahkan cermin kereta dan meninggalkan nota ugutan mahu membakar rumah di Taman Seri Keramat Ulu Kelang, di sini, mengundang padah apabila ditahan polis, Khamis lalu.

Kejadian itu disedari pemilik kenderaan pada 22 Mei lalu jam 7 pagi ketika berada di rumahnya dan mendapati along terbabit tersalah sasaran kerana individu yang membuat pinjaman adalah jiran mangsa.

Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya membuat tangkapan ke atas seorang lelaki berusia 41 tahun di Bukit Ampang Utama, di sini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod jenayah tidak dikehendaki.

"Ujian saringan awal air kencing didapati negatif. Suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.

Beliau berkata, siasatan turut dijalankan mengikut kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 3:28 PM