GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Ampang Jaya: Berang ditegur menyebabkan seorang lelaki mengamuk di sebuah restoran di Jalan Pandan Jaya 2/3, Pandan Jaya, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, suspek berusia 36 tahun datang ke lokasi terbabit dalam keadaan mengamuk jam 11.40 pagi, semalam.

"Suspek dikatakan mengamuk sambil menendang motosikal di kawasan letak kenderaan selepas pengadu menegurnya yang mengangkat motosikal jatuh ditendang.

"Tindakan itu menyebabkan suspek mengambil sabit dan menendang kerusi serta meja di dalam restoran berkenaan selain mengugut akan mencederakan pengadu.

"Disebabkan takut, pengadu yang tidak mengenali suspek kemudian menghubungi pihak polis dan membuat laporan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, katanya, pihak polis menahan suspek yang bekerja sebagai pelayan kedai makan di lokasi kejadian, semalam.

"Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan mendapati suspek positif dadah ketamin.

"Suspek direman selama empat hari mulai hari ini hingga 17 Disember nanti bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 6:13 PM