Ahmad Hasbi

Seremban: Meskipun kedua-duanya tidak boleh meluahkan perasaan masing-masing, namun reaksi Jahidah Nordin, 44, dan anaknya apabila diletakkan bersama tetap meruntun hati individu yang melihat.

Di sebalik kejadian yang menimpa Jahidah sehingga menyebabkan wanita itu koma, keluarga mereka kini mulai menerima keadaan itu dan mahu meraikan Aidilfitri ini dengan lebih ceria.

Fauziah Nordin, 41, adik kepada Jahidah yang bertanggungjawab menjaga dua beranak itu sepenuh masa berkata, mereka sekeluarga sangat lega selepas keputusan tuntutan fasakh kakaknya selesai.

"Meskipun keadaan kakak tidak menunjukkan tanda positif, saya dan adik-beradik lain cuba menyambut Aidilfitri kali ini dengan lebih ceria berbanding tahun lalu.

"Selain keluarga yang mula terima keadaan kakak, kami tidak mahu anak-anak turut merasai kesedihan ini dan menyambut raya dalam suasana suram. Tidak adil bagi mereka yang sepatutnya menikmati keceriaan beraya," katanya ketika ditemui.

Pada kunjungan wartawan ke kediaman Fauziah di Sendayan, di sini, Jahidah yang tidak mampu memberikan reaksi terus memalingkan mukanya sebaik anak lelakinya, J Eshan Nufail diletakkan di sebelahnya.

Malah, Fauziah berkata, bayi berusia setahun empat bulan itu juga akan lebih tenang sekiranya melihat ibunya seolah-olah keduanya berinteraksi meskipun tidak boleh bercakap antara satu sama lain.

"Nufail memang tidak banyak kerenah sejak kecil, ada masa dia menangis atau merengek dan jika diletakkan bersama Kak Jahidah, Nufail akan senyap," katanya.

FAUZIAH memangku anak Jahidah, Eshan Nufail sambil memerhatikan kakaknya itu di rumah mereka di Sendayan, Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham.
FAUZIAH memangku anak Jahidah, Eshan Nufail sambil memerhatikan kakaknya itu di rumah mereka di Sendayan, Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham.

Fauziah berkata, dia rindu untuk menziarahi pusara ibunya di Sabah lebih-lebih lagi pada Aidilfitri, namun tidak boleh melakukannya disebabkan keadaan Jahidah.

"Saya dengan dua lagi adik dari Melaka dan Singapura berkumpul serta menyambut raya di rumah saya. Tahun ini kami cuba menyambut raya dengan lebih ceria.

"Kakak memang tidak boleh pakai baju raya kerana keadaannya itu. Jadi baju raya Nufail sedondon dengan kami tiga beranak (anak dan suami) memandangkan saya sudah anggap Nufail seperti anak sendiri.

"Rasa rindu juga untuk pulang ke kampung terutama untuk ziarah kubur ibu. Tetapi dengan keadaan kakak, susah untuk pulang dengan memikirkan pengangkutan semua.

"Jika mahu mengupah orang untuk menjaga kakak, kosnya juga agak tinggi, malah saya sendiri rasa tidak sedap hati dan risau untuk meninggalkan kakak dalam tempoh lama," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan Nufail, Fauziah berkata, tumbesaran bayi lelaki itu sedikit terbantut dan dipercayai terkesan daripada keadaan Jahidah yang mengandungkan bayi itu dalam keadaan koma.

"Usianya kini sudah setahun dan empat bulan, namun beratnya hanya 6.5 kilogram, ia agak berat bagi bayi seusianya. Nufail juga belum boleh duduk dan hanya berbaring atau meniarap," katanya.

Jahidah yang sedang mengandung koma selepas dikatakan menjadi mangsa keganasan rumah dalam kejadian pada 4 Mei 2021.

Kakitangan awam itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bharu, Johor sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.

Keajaiban berlaku apabila Jahidah berjaya melahirkan anak dalam keadaan koma pada November 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2023 @ 9:24 AM