Fauziah Nordin.
Fauziah Nordin.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Tiada perubahan ketara pada diri kakak kerana dia hanya mampu terbaring di katil dan tidak dapat memberi sebarang respon terhadap komunikasi antara kami," kata Fauziah Nordin, 40, adik kepada Jahidah, 44 yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga lebih satu setengah tahun lalu.

Namun, Fauziah berkata, ada kalanya dia dapat memahami sesuatu percakapan dengan menggunakan bahasa badan.

"Kadang kala dia dilihat dapat memahami apa yang kami ucapkan atau perkataan yang kami keluarkan dengan menggunakan bahasa badan, berdasarkan pergerakan bola matanya mengikut arah suara.

"Apa yang menyedihkan kakak masih dalam keadaan terbaring di katil, dia tidak dapat mengukir senyuman seperti dia sihat sebelum ini," katanya di sini, hari ini.

Jahidah yang juga penjawat awam ketika berusia 43 tahun dikejarkan ke hospital di Johor Bharu selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei 2021.

Dia dikatakan mengalami kecederaan parah pada kepala dan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Fauziah berkata, Jahidah juga masih menggunakan tiub untuk makan dan segala rutin harian diuruskannya dengan baik.

"Dari maklumat doktor, pihak hospital berusaha untuk melakukan rawatan bagi melembutkan tubuh badan Jahidah.

"Saya berharap ia dapat memberikan hasil yang baik untuk kami melihat dia dapat bergerak suatu hari nanti," katanya.

Mengenai perkembangan anak Jahidah, J Eshan Nufail, yang kini berusia 14 bulan, beliau berkata, kanak-kanak itu dalam keadaan sihat dan ceria.

Beliau yang dipertanggungjawabkan oleh ahli keluarga menjaga kakaknya itu berkata, namun berat badan Eshan tidak setimpal dengan usianya.

"Ketika ini, berat badan Eshan hanya 6.5 kilogram dan sepatutnya ia sudah mencecah lapan atau sembilan kilogram.

"Ia sedikit meresahkan saya dan sebab itu dia kini diberikan rawatan oleh pakar kanak-kanak di Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) Seremban.

"Namun, yang melegakan saya, dia sihat dan aktif selain suka minum susu," katanya.

Fauziah mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang terus menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 kepada Jahidah.

"Bantuan bulanan untuk anaknya sebanyak RM250 juga sudah diterima sejak dua bulan lalu dan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami dalam menguruskan insan tersayang ini.

"Saya juga ucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak yang sudi membantu dan berterusan memberikan sokongan moral kepada kami sekeluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2023 @ 1:25 PM