JAHIDAH bersama anaknya sebelum terpaksa dihantar ke hospital. FOTO ihsan keluarga
JAHIDAH bersama anaknya sebelum terpaksa dihantar ke hospital. FOTO ihsan keluarga
Ahmad Hasbi


Seremban: Selepas sebulan dimasukkan ke wad bulan lalu akibat demam, Jahidah Nordin, 43, yang masih koma akibat dipukul suami sebelum ini kini disahkan positif Covid-19 pula.

Adiknya, Fauziah Nordin, 40, berkata, dia sekeluarga hairan kerana kakaknya itu didapati positif wabak berkenaan sedangkan tiada ahli keluarga dibenarkan masuk, malah individu yang masuk ke hospital juga sudah semestinya diperiksa terlebih dulu.

"Pihak hospital memaklumkan kakak dipindahkan ke wad Covid-19 di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban, petang semalam.

"Berita ini agak mengejutkan dan kami bimbang lebih-lebih lagi dengan keadaan kakak yang tidak dapat bergerak dan bercakap. Sebelum ini dia juga alami demam dan muntah dan terpaksa terlantar di hospital selama sebulan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fauziah berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah Jahidah belum mengambil sebarang vaksin sekali gus wabak berkenaan memberi kesan lebih teruk kepada kakaknya yang memang mengalami kesukaran bernafas.

"Disebabkan itu pihak hospital memaklumkan yang Jahidah akan dipantau dalam tempoh 10 hari. Jadi kami berserahlah dan harapnya kakak akan pulih," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai cahaya mata Jahidah yang dilahirkan secara pembedahan ketika wanita itu masih koma, Fauziah berkata, J Eshan Nufail yang sudah berusia dua bulan berada dalam keadaan baik namun sedikit meragam semalam berkemungkinan kerana rindu kepada ibunya.

Namun katanya, bayi berkenaan tidur lena selepas diselimutkan dengan baju Jahidah.

Jahidah dikejarkan ke hospital dengan ambulans selepas tahap kesihatannya dilaporkan tidak stabil akibat demam, muntah dan nafasnya turun naik pada 21 Januari lalu.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan di Johor itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei lalu.

Jahidah yang menetap di Johor Bahru koma disebabkan kecederaan parah pada kepala dengan tengkorak terpaksa dibuang akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak dipukul suaminya yang berusia 38 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 4:25 PM