KEADAAN terkini  Jahidah bersama adiknya, Fauziah dan anaknya yang memakai baju raya. FOTO Ihsan Fauziah Nordin
KEADAAN terkini Jahidah bersama adiknya, Fauziah dan anaknya yang memakai baju raya. FOTO Ihsan Fauziah Nordin
Ahmad Hasbi

Seremban: Keluarga kepada Jahidah Nordin, 43, yang koma akibat keganasan rumah tangga meluahkan rasa rindu dengan kemeriahan menyambut Syawal bersama wanita itu di kampung mereka di Keningau, Sabah.

Fauziah Nordin, 40, adik kepada Jahidah berkata, kakak sulung daripada tujuh beradik itu tidak lokek memberikan hadiah kepada anak saudara dan membeli barang dapur ketika tiba hari lebaran.

Menurut Fauziah, sebelum Jahidah diduga dengan musibah itu, mereka sekeluarga akan merancang pelbagai aktiviti untuk dilakukan pada hari raya pertama, kedua dan seterusnya.

"Dengan keadaan kakak sekarang, kami adik-beradik tidak dapat merancang aktiviti atau pergi ke sesuatu tempat. Mungkin adik-beradik tidak sampai hati untuk bergembira tanpa kakak.

"Keadaan kakak juga memberi kekangan kepada kami untuk pulang ke kampung di Sabah dan berkumpul bersama," katanya di kediamannya di Bandar Seri Sendayan, di sini.

Fauziah berkata, kakaknya itu gemar menyediakan bihun sup ketika Aidilfitri dan juadah itu menjadi menu kegemarannya.

"Kami rindu dengan kemeriahan menyambut Aidilfitri ketika kakak masih sihat. Setiap kali raya dia akan berbelanja barang dapur untuk menyediakan juadah hari raya.

"Dia juga gemar memberikan hadiah kepada anak saudara dan melayan kerenah mereka. Kini, semangat menyambut raya tidak seperti ketika kakak sihat.

"Saya sendiri membuat persiapan raya demi menaikkan suasana Aidilfitri bersama anak dan suami. Saya beraya di sini bersama suami dan mentua kerana perlu menjaga kakak serta ada adik-beradik juga akan datang ke sini," katanya.

GAMBAR kenangan Jahidah (kanan) yang ceria bersama adik-adiknya ketika sebelum koma. FOTO Ihsan Fauziah Nordin
GAMBAR kenangan Jahidah (kanan) yang ceria bersama adik-adiknya ketika sebelum koma. FOTO Ihsan Fauziah Nordin

Ditanya mengenai keadaan kesihatan Jahidah, Fauziah berkata, secara fizikalnya keadaan kakaknya semakin baik berbanding ketika dikeluarkan dari wad pertengahan Mac lalu.

"Beratnya bertambah dan dia kelihatan lebih berseri-seri berbanding sebelum ini. Namun, luka pada pinggulnya (bedsore) masih belum sembuh kerana mengambil masa lama untuk pulih.

"Dari segi dalamannya, kami sekeluarga tidak tahu dan hanya tuhan sahaja yang tahu. Berdasarkan maklumat daripada doktor, harapan kakak untuk pulih seperti sebelum ini agak tipis kerana otaknya rosak.

"Bagaimanapun, kami tidak pernah putus harapan dan berdoa supaya kakak sembuh serta sekurang-kurang dapat kembali menyambut Aidilfitri bersama," katanya.

Harian Metro pada Mei lalu melaporkan penjawat awam berusia 43 tahun itu dikejarkan ke hospital di Johor Bharu selepas dipercayai dicederakan suaminya pada 4 Mei 2021.

Ketika kejadian, umat Islam sedang menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan tahun lalu dan mereka sekeluarga tidak dapat menikmati Aidilditri seperti orang lain kerana keadaan Jahidah yang kritikal ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2022 @ 8:01 AM