Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama rakan strategiknya KL Chinese Muslim Community, hari ini, menganjurkan pemberian bantuan Aidilfitri kepada golongan kurang bernasib baik.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata kerjasama strategik itu bertujuan menyantuni golongan sasar sekali gus meringankan beban mereka menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Beliau berkata, seramai 400 penerima golongan sasar yang dikenal pasti itu terdiri daripada asnaf dan fakir miskin, orang cacat dan pelarian.

"Bantuan berupa pelbagai barangan dapur keperluan asas yang bernilai RM500 bagi setiap kotak Infaq Rezeki selain sedikit wang tunai

"Mereka yang dibantu ini adalah senarai nama yang dikemukakan pihak masjid berhampiran selain hasil pemantauan kami turun ke lapangan.

"Kita harap dengan bantuan yang tidak seberapa ini, ia membawa sedikit kemudahan kepada mereka yang memang mungkin menunggu untuk dapatkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian bantuan kotak Infaq Rezeki di Al-Madrasatul Ittifaqiyah Kampung Datuk Keramat, di sini, hari ini.

Menurutnya, minggu terakhir Ramadan, ramai yang membuat persiapan menjelang Aidilfitri namun hakikatnya tidak semua berkemampuan untuk membuat persediaan sewajarnya.

"Malah, ada yang masih berhempas pulas siang malam hanya untuk mencukupkan rezeki berbuka puasa setiap hari," katanya.

NADZIM (tengah)menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Majlis Penyerahan sumbangan Infaq Rezeki Aidilfitri PPIM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
NADZIM (tengah)menyampaikan sumbangan kepada penerima ketika Majlis Penyerahan sumbangan Infaq Rezeki Aidilfitri PPIM. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 9:07 PM