Redzuan Muharam dan Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Sebanyak 500 Kotak Rezeki Harian Metro bernilai RM75,000 diagihkan kepada golongan B40 di bawah inisiatif Hijrah Bermula dari Hati menerusi Program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) bersama Hijrah di Yayasan Warisan Batu di sini, Sabtu lalu.

Program bertujuan membantu keluarga di sekitar Kuala Lumpur yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Sumbangan kepada penerima diadakan pada satu majlis ringkas di Yayasan Warisan Batu di sini mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit berkata, Kotak Rezeki berkenaan dibahagikan kepada lima kawasan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) iaitu Mukim Batu, Lembah Pantai, Titiwangsa, Setiawangsa dan Wangsa Maju.

Katanya, setiap Kotak Rezeki bernilai RM150 dan mengandungi barangan keperluan harian seperti susu krimer manis Hijrah dan Dairy Champ, beras, gula, minyak masak serta tepung.

"Alhamdulillah, kita dapat menyempurnakan satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan kerjasama Hijrah dan apa yang kita lakukan hari ini untuk membantu golongan terkesan akibat pandemik.

"Kami di Harian Metro bukan sahaja melaporkan berita mengenai kesulitan masyarakat, malah mengambil inisiatif untuk sama-sama turun padang menghulurkan sumbangan.

"Mewakili Harian Metro, saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hijrah serta MPP Batu bagi menyempurnakan program kali ini," katanya ketika ditemui.

HUSAIN (dua, kiri) dan Zurairi (dua, kanan) pada Program TKHM Bersama Hijrah di Yayasan Warisan Batu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
HUSAIN (dua, kiri) dan Zurairi (dua, kanan) pada Program TKHM Bersama Hijrah di Yayasan Warisan Batu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata, penganjuran TKHM yang sudah berjalan selama 14 tahun selaras dengan konsep akhbar ini yang sentiasa prihatin terhadap kesusahan dialami masyarakat.

Pada program berkenaan wakil jenama Hijrah, Pengurus Kanan Perhubungan Kerajaan Mohd Zurairi Mustafa turut menyampaikan sumbangan.

Hadir sama Pengarah JKM Kuala Lumpur Che Samsuzuki Che Noh, wakil MPP Batu Datuk Yahya Mat Ghani, Pengarang Eksekutif Harian Metro Muhamad Safar Ahmad, Pengarah Projek TKHM Noor Azam Abd Aziz dan Pengurus Strategi Komunikasi dan Pemasaran NSTP Kamarul Aznam Kamarozaman.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etika (Malaysia, Singapura dan Brunei) Khalid Alvi berkata, pihaknya ingin menyampaikan erti Hijrah yang sebenar menerusi kempen Hijrah Bermula dari Hati.

Beliau berkata, sebagai jenama prihatin, Hijrah mengambil inisiatif menyemarakkan kebaikan dan menghulurkan bantuan serta sumbangan diperlukan masyarakat.

Menurutnya, ia bertepatan dengan istilah hijrah itu sendiri yang sering dikaitkan dengan perbuatan muhibah, kebaikan dan amal jariah yang memberi impak positif kepada masyarakat secara umumnya.

"Ketika rakyat Malaysia masih perlu meneruskan kehidupan dalam persekitaran pandemik Covid-19, tidak dinafikan bahawa tahap kebimbangan dan beban yang perlu mereka tanggung semakin meningkat.

"Namun, keperluan asas rakyat Malaysia tidak boleh diabaikan dan perlu diberi perhatian sewajarnya," katanya.

SUKARELAWAN mengagihkan bantuan kepada penerima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SUKARELAWAN mengagihkan bantuan kepada penerima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Beliau berkata di Hijrah, syarikat berkenaan sedar bahawa kekuatan dan ketahanan menghadapi cabaran ketika ini adalah sesuatu yang menuntut usaha serta kerjasama semua pihak.

Justeru, katanya, kempen yang dilancarkan Hijrah itu bertujuan membantu dan bersama-sama rakyat Malaysia mengharungi saat sukar ini.

"Pelbagai aktiviti akan dijalankan menerusi kempen ini dan kami berharap, rakyat Malaysia akan terus bersama kami, ketika kami juga sentiasa berusaha untuk terus memberi yang terbaik kepada semua," katanya.

Selain sumbangan Kotak Rezeki untuk golongan B40, Hijrah juga akan bekerjasama dengan Harian Metro menyampaikan sumbangan 50 katil dan tilam kepada hospital di Lembah Klang.

TKHM adalah inisiatif CSR khusus bagi akhbar Harian Metro bagi meringankan beban golongan fakir miskin, rumah kebajikan dan golongan kurang bernasib baik dengan memberi bantuan berupa barangan keperluan asas.

Ia juga adalah sebahagian daripada usaha bagi merapatkan hubungan pihak Harian Metro dengan masyarakat khususnya pembaca dan rakan penaja.

Santuni rakyat terkesan pandemik

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menzahirkan terima kasih atas sumbangan Harian Metro dan Hijrah menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) kepada 500 keluarga di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini.

Pengarah JKM Kuala Lumpur Che Samsuzuki Che Noh berkata, pihaknya berbesar hati menjadi pemudah cara kepada Harian Metro dan Hijrah membantu golongan terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Saya menganggap ini satu permulaan yang baik berikutan kita bukan sahaja menyantuni mereka, bahkan JKM akan mendapatkan maklumat berkenaan golongan memerlukan bantuan daripada kami.

"Sedikit sebanyak bantuan ini memberi harapan kepada mereka meneruskan kehidupan dan menangani pandemik Covid-19," katanya pada sidang media TKHM di Yayasan Warisan Batu di sini.

PENERIMA membawa pulang barangan sumbangan yang diterima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENERIMA membawa pulang barangan sumbangan yang diterima. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Che Samsuzuki berkata, inisiatif itu membantu mereka mengenal pasti golongan terjejas dengan adanya bantuan daripada Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Mengulas lanjut, antara golongan dikenal pasti adalah mereka yang hilang punca pendapatan dan mempunyai anak golongan kurang upaya (OKU) serta bawah penerima zakat dan asnaf JKM.

Sementara itu, MPP Parlimen Batu, Datuk Yahya Mat Ghani turut memuji usaha kebajikan dijalankan itu yang menyantuni rakyat terkesan.

"Menerusi program seperti ini, kita dapat merealisasikan sebahagian daripada kehendak rakyat berikutan situasi rakyat amat terkesan dengan pandemik yang melanda negara.

"Justeru, dengan adanya program kebajikan seperti ini, saya amat berterima kasih kepada semua pihak atas bantuan diberikan," katanya.

Yahya berkata, beliau sedia maklum dengan masalah rakyat yang kehilangan pekerjaan serta hilang mata pencarian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 7:56 AM