PPIM bersama Gardenia Bakeries, PPZ-MAIWP dan JAWI tampil dengan Projek Zero Hunger. FOTO Ihsan PPIM
PPIM bersama Gardenia Bakeries, PPZ-MAIWP dan JAWI tampil dengan Projek Zero Hunger. FOTO Ihsan PPIM
Yusmizal Dolah Aling


PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bersama Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (GBKL), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) tampil dengan Projek Zero Hunger untuk menyantuni seramai mungkin golongan kurang berkemampuan dan petugas barisan depan.

Dengan 10,000 penerima sudah dikenal pasti, ia sebahagian daripada usaha terus menerus melaksanakan kewajipan dengan menghulurkan bantuan kepada isi rumah B40 dan miskin bandar.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, selain pasukan keselamatan, program itu juga memberi sumbangan keperluan asas kepada penghantar makanan e-hailing, pemandu teksi dan bas yang turut memberikan perkhidmatan perlu kepada masyarakat.

"Sejak tular isu Covid-19 dan penguatkuasaan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, kami di PPIM memang menjangkakan sosioekonomi kita akan terjejas terutama golongan B40, prihatin dan peka terhadap masyarakat adalah keutamaan bagi PPIM.

"Sejurus mengenal pasti lebih daripada 10,000 isi rumah yang memerlukan, PPIM bertindak dengan menubuh dan menggerakkan sebuah pasukan ad hoc menerusi untuk mengedarkan Pek Sumbangan Ramadhan Gardenia bagi membantu mengurangkan bebanan mereka ini," katanya pada program penyampaian sumbangan di Masjid Abu Ubaidah Al Jarrah, Taman Seri Rampai hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awam) GBKL, Hazlinah Harun.

Nadzim berkata, pihaknya turut meminta supaya masyarakat dan golongan peniaga mengamalkan kebersihan diri dan premis, mematuhi prosedur ditetapkan KKM bagi memastikan kita berjaya mengekang Covid-19.

"Kita juga jalankan kempen Kebersihan dan Bebas Kuman dan sanitasi di premis yang ingin bersama-sama membantu.

"Mereka yang mengambil bahagian akan diberikan penarafan daripada PPIM sebagai persatuan pengguna

"Kita mahu memupuk budaya baru ini bersama-sama. Kita semua pengguna dan terkesan dengan apa yang berlaku. Menerusi disiplin yang tinggi, kita akan berjaya dengan normal baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2020 @ 11:43 PM