Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Raya atau tidak, tetap perlu mengayuh beca di sekitar bandaraya demi sesuap nasi. Tiada hidangan enak, saya menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama pengayuh beca yang senasib selain rakan gelandangan.

"Bohonglah jika saya katakan tidak sedih menyambut Hari Raya tanpa keluarga, adakalanya saya pergi ke belakang lorong dan menangis sepuas hati kerana terkenang nasib diri."

Begitu kata Norazlan Haniff, 42, yang sudah empat tahun mengerah kudrat sebagai pengayuh beca dengan pendapatan tidak seberapa.

Bapa kepada dua anak itu berkata, berikutan penceraian dengan isteri pada 2019, dia mengambil keputusan berhenti kerja sebelum bekerja sebagai mengayuh beca.

"Biasanya pada pagi Aidilfitri, saya ke masjid bagi menunaikan Solat Hari Raya dan sebelum kembali mengayuh beca.

"Pada hari berkenaan, pelanggan tidak ramai tetapi ada individu yang bermurah hati memberi duit raya serta memberi tip selepas bergambar dengan beca," kata anak kelahiran Bagan Ajam itu ketika ditemui di perkarangan Masjid Kapitan Keling, di sini, hari ini.

Seramai 60 penarik beca di sekitar pusat bandar menerima sumbang bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada SMS Deen Jewellers di perkarangan Masjid Kapitan Keling di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Seramai 60 penarik beca di sekitar pusat bandar menerima sumbang bantuan sempena Hari Raya Aidilfitri daripada SMS Deen Jewellers di perkarangan Masjid Kapitan Keling di sini hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Norazlan berkata pada mulanya dia tiada tempat tinggal namun selepas bekerja sebagai pengayuh beca, kenderaan roda tiga itulah menjadi 'rumahnya' selama lebih dua tahun dan kini sudah menyewa bilik.

Dia adalah antara seramai 60 pengayuh beca yang ditemui di sini, yang menerima sumbangan sempena Aidifitri oleh SMS Deen Jewellers dan hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Menerusi program khidmat masyarakat (CSR) itu, mereka menerima sumbangan berupa wang tunai dan bakul makanan yang bernilai RM100 berdasarkan pemilihan yang dilakukan kariah Masjid Kapitan Keling.

Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen Jewellers, Mohamed Shaifudeen Mohamed Sirajudeen berkata, selain itu empat pusat tahfiz dan satu rumah kebajikan anak yatim di sekitar Air Itam, Bayan Lepas dan Gelugor masing-masing turut menerima sumbangan RM1,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 8:24 PM