Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Mengerah kudrat berkayuh beca dari pagi hingga ke malam bukanlah satu tugas mudah dan mampu dilakukan semua orang apatah lagi kaum wanita.

Namun Nur Fatin Hazwani Mohamed, 26, rela melakukan pekerjaan itu sejak Disember tahun lalu didorong minat mendalamnya demi mencari rezeki halal.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia lazimnya memulakan rutin tugas itu bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah malam dan membawa penumpang khususnya pelancong bersiar-siar kira-kira dua kilometer (km) hingga 6 km di sekitar pusat bandar.

NUR Fatin membawa pelanggan bersiar-siar sekitar di Georgetown. FOTO Danial Saad
NUR Fatin membawa pelanggan bersiar-siar sekitar di Georgetown. FOTO Danial Saad

"Berpanas, bermandi peluh itu biasa dan mujurlah saya bukan seorang yang gemar bersolek. Ada ketikanya saya basah lencun apabila hujan melanda tiba-tiba. Tapi jika hujan, bahagian penumpang akan dilindungi dengan penutup plastik.

"Sejujurnya, kerja mengayuh beca ini saya anggap seperti senaman. Badan berasa lebih cergas dan saya lebih bersemangat apabila bertemu ramai orang tanpa mengira latar belakang," katanya ketika ditemui di sini.

Nur Fatin berkata, suaminya Muhd Ammar Shaufik Rosli, 26, turut menjadi penarik beca sepenuh masa sejak 2020 pada masa yang mengambil upah membaiki motosikal secara sambilan selepas kehilangan kerja sebagai pengawal keselamatan akibat Covid-19.

"Alhamdulillah pendapatan kami berdua cukup untuk membayar sewa rumah dan perbelanjaan harian. Masa bekerja kami juga fleksibel dan kami boleh bergilir-gilir menghantar dan menjemput anak yang bersekolah tadika.

"Secara purata, setiap hari saya dapat bawa penumpang lima hingga enam perjalanan dengan bayaran RM30 bagi tempoh 30 minit dan RM50 untuk sejam.

"Muatan beca saya bagi setiap kali perjalanan ialah dua penumpang dewasa atau jika penumpang kanak-kanak boleh naik empat hingga lima orang.

"Buat masa ini saya tidak mampu memiliki beca sendiri dan membayar sewa bulanan sebanyak RM50. Jika ada kerosakan penyewa perlu tanggung segala kos untuk membaikinya," katanya.

Anak keempat daripada lapan beradik itu menyifatkan kerjaya itu begitu bermakna kerana bapanya juga merupakan seorang penarik beca sejak zaman mudanya sebelum pekerjaan itu turut diwarisi dua orang abang dan tiga orang adik lelakinya.

Menurutnya, dalam keadaan kesihatan tidak menentu, bapa Nur Fatin masih setia membawa penumpang dan hampir setiap hari turun padang untuk berkumpul dengan rakan penarik beca lain atau sekadar duduk berehat di atas becanya.

"Secara peribadi, saya gembira bekerja sebagai pengayuh beca kerana sudah terbiasa dengan komuniti ini sejak kecil. Cuma masalahnya sekarang, saya belum memiliki lesen.

"Silap saya sendiri kerana hanya dengar dan percaya cakap orang bahawa wanita tidak layak dapat lesen beca dan akhirnya terlepas membuat permohonan yang dikatakan berakhir Mac lalu," katanya.

Sementara itu, jurucakap MBPP menasihati penarik beca yang menghadapi masalah seperti Nur Fatin untuk hadir ke pejabat dan berunding dengan petugas di bahagian pelesenan secepat mungkin.

"Pada minggu lalu kami ada menerima permohonan pembaharuan lesen daripada penarik beca. Kami ambil maklum perkara ini dan akan kumpul sekali (permohonan) untuk diproses dijangka bulan hadapan.

"Berhubung pelesenan selalunya ia akan diuruskan pada awal dan akhir tahun mengikut ketetapan Pejabat Pengerusi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE).

"Tapi jika terlepas tarikh dan ada permohonan dibuat selepas itu ia akan diuruskan oleh pegawai pelesenan dengan agensi berkaitan.

"Jadi, mereka yang berkenaan boleh datang ke pejabat dan kita akan selaras dengan jabatan-jabatan lain," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 7:05 AM