Siti Sofia Md Nasir


“SUDAH lama saya teringin untuk membaca dan memiliki al-Quran," demikian luah pelancong dari England, Alice Toms, 30an, yang sudah lama memendam minat untuk mengkaji dan mendalami Islam sendiri, selepas menerima banyak maklumat berkaitan agama berkenaan.

"Saya sendiri tidak tahu adakah maklumat yang saya terima itu benar atau salah. Jadi, saya memang teringin untuk belajar mengenai Islam.

"Menerusi pemberian al-Quran ini, saya berpeluang untuk mengetahui ajaran Islam yang sebenar. Saya tidak pernah anggap Islam adalah agama yang negatif," katanya yang mengakui berfahaman atheis.

Alice adalah seorang daripada penerima naskhah terjemahan al-Quran dalam program Pemberian 100 al-Quran Percuma yang dianjurkan Persatuan Propaganda Islamik Antarabangsa (IPSI), di perkarangan Masjid Kapitan Keling di Georgetown, hari ini.

Bagi pelancong tempatan, Paul Chong, 32, dia berhasrat untuk mempelajari Islam selepas merasakan agama itu bersifat neutral dan terbuka kepada semua.

"Saya mengakui tidak mempercayai mana-mana agama setakat ini kerana saya adalah atheis, tetapi saya sedia maklum bahawa Islam itu bersifat terbuka kepada semua orang.

"Terima kasih kerana memberi al-Quran ini untuk saya lebih memahami dan mendalami Islam," katanya.

KAKITANGAN Persatuan Propaganda Islamik Antarabangsa (IPSI) bertemu pelancong dan menyerahkan naskhah Al-Quran yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris secara percuma, dalam program Penyerahan 100 Al-Quran Percuma anjuran IPSI, di perkarangan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
KAKITANGAN Persatuan Propaganda Islamik Antarabangsa (IPSI) bertemu pelancong dan menyerahkan naskhah Al-Quran yang diterjemah dalam Bahasa Inggeris secara percuma, dalam program Penyerahan 100 Al-Quran Percuma anjuran IPSI, di perkarangan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Sementara itu, Presiden IPSI, Kamaruddin Abdullah berkata, program berkenaan adalah kali ketiga diadakan pihaknya, selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Katanya, IPSI menerbitkan lima terjemahan al-Quran iaitu dalam Bahasa Inggeris, Perancis, Mandarin, Jepun, Korea, bagi memudahkan kumpulan sasar lebih memahami Islam menerusi kitab suci itu.

"Saya mendapat idea untuk mengadakan program ini selepas peristiwa serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, dan ketika itu saya melihat Islam seolah-olah dipandang rendah.

"Program sulung pemberian al-Quran secara percuma ini diadakan pada 2003 dan ia mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sehingga ia berjaya diedarkan sebanyak 500 naskhah. Kerana itu kami teruskan program berkenaan hari ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Ogos 2018 @ 4:09 PM