FAUZIAN (kiri).
FAUZIAN (kiri).
Ahmad Hasbi


Seremban: Keluarga kepada Jahidah Nordin, 45, bersedia untuk membawa wanita koma itu ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor, meskipun sedar ia agak merumitkan dengan mengambil situasi semasanya.

Ia demi mendapatkan keadilan terhadap wanita berkenaan bagi perbicaraan berhubung pertuduhan terhadap bekas suaminya yang didakwa memukulnya dua tahun lalu.

Adiknya, Fauziah Nordin, 41, berkata, pihak timbalan pendakwa raya menghubungi keluarga memaklumkan sekiranya Jahidah boleh dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan kes itu dalam masa terdekat.

"Pihak pendakwaan menghubungi adik saya (Fazariah Nordin) dan bertanya jika kami boleh membawa Kak Jahidah ke Mahkamah Sesyen Johor Bharu memandangkan kes berkenaan dibicarakan di sana.

"Kalau boleh kami memang mahu bawa Kak Jahidah supaya mahkamah boleh lihat apa yang terjadi kepada kakak... juga demi keadilannya," katanya ketika, hari ini.

Fauziah berkata, badan bukan kerajaan (NGO), Dana Kita, menyatakan kesediaan untuk membantu menyediakan pengangkutan bagi membawa kakaknya ke Johor Bahru nanti.

"Kos untuk menyewa ambulans agak mahal. Pengasas Dana Kita, Mohd Fadli Salleh atau lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Fadli menghubungi Fazariah memaklumkan akan membantu.

"Kami bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu menyediakan perkhidmatan ambulans, malah mereka bersetuju untuk menguruskan sekiranya Kak Jahidah perlu bermalam," katanya.

Orang yang mahu turut sama meringankan beban keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan bantuan perubatan Jahidah melalui akaun bank CIMB 7617797037 atas nama Fauziah Nordin.

Media pada Mei 2021 melaporkan, Jahidah yang hamil parah dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian pada 4 Mei.

Jahidah yang juga kakitangan awam jabatan kerajaan dilaporkan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 11:17 AM