Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Kuala Kangsar: Biarpun tempahan kuih raya tradisional meningkat menjelang sambutan Aidilfitri, Rokiah Kulop Malodin, 62, hanya menghadkan tempahan yang diterimanya kepada 150 bekas atau sekitar 8,000 kuih bahulu bagi perayaan kali ini.

Rokiah berkata, bahulu itu ia bagi menjamin kualiti dan rasa bahulu yang dihasilkan, memandangkan bukanlah sesuatu yang mudah baginya membuat bahulu kaedah tradisional iaitu menggunakan dapur kayu atau bara api dari kayu serta sabut kelapa.

Mesra disapa Cik Kiah, dia berkata bahulu 'Warisan Cik Kiah' itu mula dibuat dua minggu sebelum Syawal menjelma bagi mengekalkan kesegaran kuih itu selain mengelakkan ia rosak atau berlapuk ketika dihidang.

"Biarpun bahulu ini hanya daripada tiga bahan iaitu telur, tepung dan gula namun proses pembuatannya rumit. Saya bangun seawal jam 5 pagi setiap hari bagi memulakan proses bancuhan.

"Keistimewaan bahulu saya ini terletak pada tekstur yang sedikit kenyal dan rangup. Ia mempunyai bau asap yang membangkit rasa berbanding jika dibakar dalam ketuhar.

"Cabaran terbesar dalam proses pembuatan ini adalah bara kayu di bawah periuk sabut di atasnya yang kena sentiasa dijaga dan dikawal nyalaan apinya selain mengikuti tempoh masa ditetapkan.

"Kayu api yang digunakan juga harus bersesuaian iaitu kayu dari pohon rambutan, langsat atau kayu hutan jenis keras seperti cenerai dan halban supaya bara api lebih sekata dan bertahan lama serta membuatkan bahulu masak sekata," katanya ketika ditemui bengkel pembuatannya yang terletak bersebelahan kediamannya di Kampung Guar, Manong, di sini.

Mula membuat bahulu sejak tahun 2016, Rokiah berkata pembuatan kuih berkenaan dipelajari daripada ibu mentuanya sejak lebih 30 tahun lalu dan hanya membuat bahulu jika terdapat tempahan seperti untuk majlis keraian dan sebagainya di kawasan sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 1:38 PM
Rokiah menunjukkan bahulu yang dihasilkannya menggunakan dapur kayu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Rokiah menunjukkan bahulu yang dihasilkannya menggunakan dapur kayu. FOTO MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI