Aroma kuih bakul kayu bakau sentiasa dinantikan peminatnya setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO BERNAMA
Aroma kuih bakul kayu bakau sentiasa dinantikan peminatnya setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Perlis: Aroma kuih bakul kayu bakau sentiasa dinantikan peminatnya setiap kali tiba sambutan Tahun Baharu Cina.

Selain baunya yang wangi, keenakannya disulami dengan warna keemasan menjadikannya hidangan wajib pada perayaan tersebut.

Resipi yang diperturunkan daripada zaman nenek moyang sejak 40 tahun lalu, diteruskan oleh Pu Jee Eng, 58, bersama suami Teng Soh Hee, 65, sambil dibantu oleh tiga anak mereka Teng Ze Kai, 24, Teng Angel, 22 dan Teng Cing Wei, 21, ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Kurung Tengah, Kuala Perlis.

Setiap hari seawal jam 5 pagi, keluarga ini sudah bersiap sedia menyiapkan bahan-bahan dengan 30 kilogram beras pulut.

TEPUNG yang  siap dikisar ‘direhatkan’ sehingga kering selama 12 jam sebelum diadun dengan gula dan dikukus selama 24 jam. FOTO BERNAMA
TEPUNG yang siap dikisar ‘direhatkan’ sehingga kering selama 12 jam sebelum diadun dengan gula dan dikukus selama 24 jam. FOTO BERNAMA

Bermula dengan membalut daun pisang pada tin silinder, mengisar beras pulut dan menyalakan kayu bakau. Kayu bakau yang dibeli dari kawasan berdekatan menghasilkan arang kayu berkualiti tinggi ketika memasak dan menghasilkan warna kuih bakul yang sekata seperti 'warna keemasan'.

Tepung yang siap dikisar 'direhatkan terlebih dahulu sehingga kering selama 12 jam sebelum diadun dengan gula dan dikukus selama 24 jam.

Tugas memasak kuih bakul kali ini agak ringan dengan dibantu dua anak perempuannya, Teng Angel dan Teng Ching Wei, yang bercuti semester.

TIN silinder dibalut kemas dengan daun pisang sebelum adunan kuih bakul dimasukkan. FOTO BERNAMA
TIN silinder dibalut kemas dengan daun pisang sebelum adunan kuih bakul dimasukkan. FOTO BERNAMA

Kuih Bakul yang dimasak secara tradisional menggunakan kayu api boleh disimpan lebih lama sehingga setahun.

Kuih bakul ini dijual dari rumah dengan harga RM22 sekilogram bagi kuih yang bersaiz besar manakala bagi yang bersaiz kecil dijual dengan harga RM7 setiap biji kuih.

Walaupun pembuatan kuih bakul atau Nian Gao ini mengambil proses yang panjang dan perlahan namun keluarga ini masih mengekalkan cara pembuatan secara tradisional agar peminat kuih bakul dapat menikmati 'rasa sebenar' menjelang Tahun Baharu Cina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 7:53 AM