ANTARA pelayan dan pelanggan yang ditahan dalam operasi di pusat pelacuran sekitar Jalan Petaling. FOTO DBKL.
ANTARA pelayan dan pelanggan yang ditahan dalam operasi di pusat pelacuran sekitar Jalan Petaling. FOTO DBKL.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Tujuh pusat pelacuran yang beroperasi pada bulan mulia ini digempur dalam operasi Tindakan Khas Premis Berisiko di sekitar Jalan Petaling, di sini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini berkata, operasi bermula 9 malam semalam, dijalankan bersama polis selepas risikan di beberapa lokasi panas di ibu negara.

"Pihak DBKL mengenal pasti premis-premis perniagaan yang menawarkan aktiviti seks dan pelacuran melibatkan wanita warga asing.

"Tujuh premis diserbu dan menahan empat wanita Bangladesh, India (satu) dan Indonesia (satu) disyaki bekerja sebagai pelayan," menurut kenyataan.

PIHAK berkuasa meruntuhkan binaan haram dalam premis yang digunakan untuk pelacuran. FOTO DBKL.
PIHAK berkuasa meruntuhkan binaan haram dalam premis yang digunakan untuk pelacuran. FOTO DBKL.

Seramai 16 lelaki terdiri daripada dua warga tempatan disyaki penjaga premis dan 14 warga asing dipercayai pelanggan turut ditahan.

DBKL mengarahkan semua premis ditutup mengikut Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan turut dikenakan notis kompaun.

"DBKL bertindak memecahkan 85 bilik yang dibina tanpa kelulusan serta membuat tindakan sita terhadap 212 pelbagai barangan dan peralatan dipercayai bagi menjalankan aktiviti tidak bermoral.

"Antaranya, kondom, minyak pelincir, tisu basah, kipas dinding, cctv dan dibawa ke Stor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 4:48 PM