DBKL menyita sebuah hotel menyediakan dan menjalankan perkhidmatan seks di Jalan Pudu Ulu, hari ini. FOTO ihsan DBKL
DBKL menyita sebuah hotel menyediakan dan menjalankan perkhidmatan seks di Jalan Pudu Ulu, hari ini. FOTO ihsan DBKL
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita sebuah hotel yang menyediakan dan menjalankan perkhidmatan seks di Jalan Pudu Ulu, di sini, hari ini.

DBKL dalam Facebook rasminya memaklumkan, menerusi aduan awam diterima, DBKL membuat risikan awal dan mendapati berlakunya aktiviti tidak bermoral di dalam premis berkenaan.

"Ketika pemeriksaan dijalankan terdapat tiga wanita warga Thailand yang menawarkan khidmat seks dan seorang pelanggan warga Bangladesh berada di premis terbabit.

"Pasukan pemeriksaan turut mengambil keterangan seorang wanita warga tempatan yang juga penjaga premis berkenaan," katanya.

Menurutnya, walaupun hotel terbabit mempunyai lesen sah, tindakan menjalankan aktiviti tidak bermoral menyalahi undang-undang dan peraturan pelesenan.

Katanya, DBKL menyita pelbagai peralatan di dalam premis seperti kondom dan minyak pelincir digunakan bagi tujuan aktiviti pelacuran mengikut Seksyen 29 Akta Hotel (WPKL) 2003 dan penutupan serta-merta mengikut Seksyen 18 Akta Hotel (WPKL) 2003.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 9:43 PM