GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Masyarakat memainkan peranan penting untuk melaporkan kes jenayah terutama ke seksual dalam kalangan kanak-kanak dan wanita sebagai usaha membanteras isu itu daripada menjadi semakin berleluasa.

Pakar Sosial Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, usaha membanteras jenayah itu tidak hanya terletak pada 'bahu' kerajaan semata-mata, malah membabitkan semua pihak terutamanya membabitkan masyarakat.

"Kita tidak boleh meletakkan beban kepada kepada pihak kerajaan untuk memastikan jenayah itu dapat dibenteras tanpa ada kerjasama daripada masyarakat kerana kerajaan mempunyai limitasi, termasuk daripada segi kewangan dalam mengawal kes yang berlaku.

"Justeru, masyarakat perlu memainkan peranan dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mempunyai maklumat berkaitan jenayah terbabit. Namun pada masa sama, masyarakat tidak digalakkan untuk melaksanakan hukuman sendiri.

"Disebabkan itu, laporan dikemukakan itu penting supaya tindakan dapat diambil pihak berkuasa berlandaskan undang-undang," katanya dihubungi hari ini.

Mohammad Shatar berkata, ibu bapa juga dinasihati supaya lebih prihatin dalam keluarga, terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam jenayah seksual.

"Kita sedia maklum bahawa banyak pendedahan sama ada baik mahupun buruk boleh diperoleh menerusi media sosial, akan diikuti oleh anak-anak terutama dalam tempoh masa panjang secara berterusan.

"Disebabkan itu, ibu bapa perlu peka dan melihat perkembangan emosi anak-anak. Jika ada perubahan dikesan, tindakan segera perlu diambil bagi membanteras jenayah ini," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, kes jenayah termasuk seksual yang membabitkan kanak-kanak dan wanita di negara ini menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 12,890 kes tahun lalu berbanding 11,092 pada 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dipetik berkata, kes jenayah seksual termasuk rogol, cabul, sumbang mahram, cabul kehormatan, gangguan seksual, amang seksual, berkomunikasi seksual dengan kanak-kanak, penderaan kanak-kanak, buang bayi dan keganasan rumah tangga (KRT) didapati meningkat.

Katanya, jumlah kes rogol pada 2020 adalah 1,378, meningkat kepada 1,398 kes tahun lalu, manakala sumbang mahram pula sebanyak 259 kes kepada 264 kes, cabul kehormatan (daripada 838 kes tahun 2020 kepada 865 kes tahun lalu), gangguan seksual (378 kes kepada 466 kes) dan dera kanak-kanak (545 kes kepada 687 kes) serta KRT (5,260 kes kepada 6,540 kes).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2023 @ 4:53 PM