ROHANI Abdul Karim
ROHANI Abdul Karim
Mohd Nasif Badruddin

Kuala Lumpur: Membimbangkan apabila statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan 13,272 kes rogol atau 59.7 peratus daripada bilangan kes penderaan seksual membabitkan mangsa berusia bawah 18 tahun direkodkan antara 2010 hingga Mei lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, turut direkodkan kes cabul sebanyak 6,014 kes (27.04 peratus), sumbang mahram dengan 1,796 kes (8.07 peratus) dan seks luar tabii dengan 1,152 kes (5.18 peratus).

Katanya, Johor mencatatkan kes rogol tertinggi dengan 2,089 kes, Sabah merekodkan kes sumbang mahram tertinggi dengan 263 kes manakala Selangor menjadi negeri tertinggi bagi kes cabul dan seks luar tabii dengan masing-masing 1,052 kes dan 235 kes.

Katanya, bagi tempoh itu juga, 2,244 kes penderaan fizikal turut dilaporkan.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil langkah perlu termasuk meminda Akta Kanak-Kanak dan memperkenalkan Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak bagi menangani jenayah terhadap kumpulan itu.

“Kerajaan juga bercadang menubuhkan mahkamah khas bagi membicarakan jenayah seksual kanak-kanak di setiap negeri berbanding hanya ada satu di Putrajaya ketika ini.

“Mahkamah khas ini akan memberikan rasa selamat kepada mangsa dan membantu mereka memberi keterangan terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya ketika menjawab soalan Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang bertanyakan statistik mengenai kes penderaan kanak-kanak (seksual dan bukan seksual) di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Beliau berkata, di mahkamah khas itu, mangsa diletakkan di kawasan berbeza daripada tertuduh dan hanya hakim yang mempunyai akses kepada mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 5:51 AM