BERNAMA

Kuala Lumpur: Singapura bersetuju untuk menghentikan sementara perancangan kerja pembangunan dan aktiviti penambakan Batu Puteh.

Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata, ini susulan pendirian dan bantahan Malaysia berhubung perkara itu yang dibuat secara lisan serta bertulis.

"Malaysia telah menegaskan pendirian bahawa Singapura tidak berhak dan tidak wajar meneruskan perancangan kerja-kerja pembangunan dan aktiviti penambakan sehingga kedua-dua negara memuktamadkan sempadan maritim di perairan tersebut," katanya.

Beliau berkata, demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad berkata, selain pembatasan sempadan maritim, rundingan bagi membincangkan pelan pembangunan sepihak Singapura di Batu Puteh juga telah dimulakan oleh kedua-dua negara.

"Kementerian Luar bersama agensi teras kerajaan yang berkaitan sedang meneliti perkembangan semasa serta mengkaji tindakan yang boleh diambil dari pelbagai aspek termasuk berdasarkan undang-undang antarabangsa dan hubungan diplomatik dua hala," katanya.

Beliau berkata, Malaysia kekal berpendirian bahawa isu Batu Puteh perlu dikendali secara diplomatik dengan niat baik.

Mohamad berkata, kerajaan berharap Singapura turut mengambil tindakan sama untuk menghormati dan tidak melaksanakan sebarang keputusan yang mencerminkan niat buruk serta bertentangan dengan semangat dan proses rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua negara.

Pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh manakala Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Mohamad juga berkata, Malaysia dan Singapura telah membentuk mekanisme khusus bagi melaksanakan penghakiman itu serta menangani isu lain yang berkaitan menerusi Jawatankuasa Teknikal Bersama Malaysia-Singapura (MSJTC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 5:33 PM