Aizat Sharif


Kangar: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan taktik menunda lori satu tan dipenuhi dengan syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta dalam serbuan di Simpang Empat, di sini, Ahad lalu.

Susulan serbuan itu, lima suspek berusia antara 29 hingga 49 tahun, termasuk seorang wanita dipercayai penyanyi kelab malam, diberkas dengan seorang daripadanya didapati cuba menawarkan suapan sebanyak RM200,000 kepada anggota polis untuk menutup kes itu.

Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad berkata, serbuan dilakukan jam 4 pagi apabila anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 2, Briged Utara bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis dan Pasukan Polis Marin (PPM) Perlis membuat rondaan mencegah penyeludupan di sekitar Jalan Sungai Baru, Simpang Empat.

"Anggota yang menjalankan tugas cegah penyeludupan ternampak lori penunda kenderaan mengangkut sebuah lori satu tan di belakangnya melalui laluan di tepi pantai Jalan Sungai Baru.

"Gerak-geri pemandu lori penunda itu mencurigakan dan apabila ditahan, pemeriksaan menemukan 72 guni dan setiap satu guni itu berisi 25 bungkusan disyaki dadah syabu yang disusun sehingga mencapai bumbung dalam bahagian belakang lori satu tan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis, di sini, hari ini.

Surina berkata, rampasan dan penahanan pemandu lori penunda kenderaan itu membawa kepada tangkapan empat lagi suspek termasuk seorang wanita berusia antara 29 hingga 49 tahun di beberapa lokasi di Pulau Pinang.

"Seorang daripada suspek yang ditangkap itu menawarkan wang berjumlah RM200,000 kepada anggota polis dengan tujuan sogokan itu untuk menutup dan menyelesaikan kes itu.

"Namun semua polis terbabit menolak dan merampas wang tunai berkenaan untuk tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Katanya, siasatan awal mendapati bekalan syabu itu diperoleh dari Thailand dan dipercayai cuba dipasarkan ke negeri seperti Kedah, Perak, Pulau Pinang, Lembah Kelang mahupun Johor.

"Polis masih menyiasat dalang sindiket ini, bila sindiket ini mula aktif selain adakah rangkaian mereka membabitkan sindiket antarabangsa.

"Saringan mendapati dua daripada suspek yang ditahan itu positif dadah methamphetamine," katanya yang menegaskan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 1:48 PM
Surina (tengah) bersama pegawai tertinggi polis Perlis menunjukkan bungkusan syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta yang dirampas dalam sebuah lori satu tan di Simpang Empat, Kangar. FOTOAIZAT SHARIF
Surina (tengah) bersama pegawai tertinggi polis Perlis menunjukkan bungkusan syabu seberat 1.8 tan bernilai RM64.8 juta yang dirampas dalam sebuah lori satu tan di Simpang Empat, Kangar. FOTOAIZAT SHARIF