Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kajang: Sorok lebih 500 kilogram (kg) kokain dan syabu dalam sebuah kontena membawa muatan bawang, itu taktik digunakan sindiket didalangi lelaki warga Sri Lanka menyeludup dadah ke negara ini.

Bagaimanapun, helah itu berjaya dihidu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang mengesan kontena daripada Pakistan itu masuk melalui jalan laut di Pelabuhan Klang, pada 24 Oktober.

Difahamkan, lebih 411 kg syabu dan 100 kg kokain berjaya dirampas dalam serbuan di sekitar Cheras Prima, di sini, ketika ahli sindiket memunggah dadah berkenaan dari kontena ke sebuah gudang, kelmarin.

Pengarah JSJN Bukit Aman Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki warga Sri Lanka yang dipercayai menjadi koordinator membawa masuk dadah berkenaan dari Pakistan ditahan bersama enam lelaki tempatan.

"Hasil siasatan mendapati modus operandi sindiket adalah membawa masuk dadah dari Pakistan melalui jalan laut dan dijual di sekitar Lembah Klang.

"Kami percaya kemungkinan dadah ini juga untuk pasaran negara jiran kerana jumlahnya yang agak banyak, kita percaya sindiket ini aktif sejak awal tahun ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini hari ini.

Kamarudin berkata, sindiket terbabit menyorokkan dadah terbabit di dalam bungkusan guni bawang dan diletakkan di bahagian belakang kontena bagi menyukarkan pemeriksaan.

Katanya, rampasan membabitkan dadah yang masuk menerusi jalan laut dari Pakistan adalah yang pertama dilakukan JSJK dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ditanya sama ada permintaan dadah kokain dalam pasaran tempatan semakin meningkat, Kamarudin berpendapat syabu masih menjadi pilihan utama penagih dalam negara kerana harganya lebih murah.

"Kokain adalah dadah kegunaan orang kenamaan kerana harganya yang mahal iaitu mencecah RM200,000 untuk satu kg manakala syabu hanya RM36,000 satu kg," katanya.

Mengulas lanjut Kamarudin berkata, nilai keseluruhan dadah dan aset dirampas berjumlah lebih RM34 juta dianggarkan boleh digunakan oleh 2.6 juta pengguna.

Katanya, polis turut merampas dua Perodua Myvi, Perodua Bezza (satu), Proton X70 (satu), Toyota Alphard (satu), dan sebuah BMW.

"Kesemua suspek berusia 21 hingga 53 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Tindakan juga diambil mengikut ADB Pelucuthakkan Harta 1998 bagi membolehkan JSJN menyita pelbagai aset milik sindiket bernilai RM384,964," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 5:00 PM
KAMARUDIN (tengah) pada sidang media kejayaan  menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah bernilai RM 33.73 juta di Lembah Klang. FOTO Azhar Ramli
KAMARUDIN (tengah) pada sidang media kejayaan menumpaskan sindiket pengedaran dan penyeludupan dadah bernilai RM 33.73 juta di Lembah Klang. FOTO Azhar Ramli