Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PASANGAN dua beranak bersama seorang remaja ditahan di Felda Rimba Emas, Padang Besar selepas mereka didapati mengetuai rangkaian sindiket pengedaran dadah syabu dan ganja bernilai RM6.58 juta.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, penahanan dua beranak berusia 43 dan 16 tahun bersama remaja berusia 16 tahun dilakukan di sebuah rumah pada 12.15 tengah malam kelmarin dan 2.45 pagi tadi.

Katanya, selain penahanan itu, polis turut merampas sejumlah 100 kilogram ketulan mampat ganja bersama 126 kilogram syabu yang dimuatkan ke dalam lima guni dan 18 beg.

"Hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), dua beranak ini dengan dibantu seorang lagi remaja disyaki bergiat aktif dalam rangkaian pengedaran dadah sejak awal tahun lalu.

"Ketika tangkapan dilakukan, dua remaja terbabit sedang menyusun dadah terbabit sebelum bapanya tiba di rumah dan ditahan di lokasi yang sama kira-kira dua jam kemudian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di Kangar, hari ini.

Surina berkata, hasil ujian air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif syabu, namun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

"Mereka ini licik dan bergerak secara terancang, malah kita percaya dadah yang diedarkan adalah untuk pasaran luar Perlis sehingga ke selatan tanah air.

"Dua remaja ini didapati tidak lagi bersekolah, manakala suspek lelaki adalah penganggur sebelum mereka aktif dalam kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat modus operandi sindiket berkenaan memandangkan mereka berani membawa masuk ganja dan syabu dalam kuantiti yang besar.

"Kita percaya kesemua dadah ini diseludup dari negara jiran dan ini adalah rampasan terbesar di Perlis untuk tahun ini.

"Kesemua mereka direman tujuh hari bermula semalam, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan," katanya.

SURINA (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
SURINA (tiga dari kanan) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang dirampas polis. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 11:26 AM