FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Ruwaida Md Zain


Kuala Langat: Kedah mencatatkan 13,502 kes penyalahgunaan dadah iaitu tertinggi di Malaysia sepanjang tahun 2021.

Berdasarkan rekod Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), jumlah itu meningkat sebanyak 28.4 peratus berbanding 10,518 kes penyalahgunaan dadah pada tahun 2020.

Statistik itu diikuti negeri Johor membabitkan 13,261 kes manakala Selangor pula sebanyak 12,182 kes sepanjang tahun 2021.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin bagaimanapun berkata, secara keseluruhan kes penyalahgunaan dadah di seluruh negara menurun 4 peratus pada 2021 berbanding 2020.

"Secara keseluruhannya, sebanyak 128,325 kes penyalahgunaan dadah direkodkan di seluruh negara pada tahun 2020 berbanding 123,139 kes pada 2021.

"Statistik ini berdasarkan kes (direkodkan) di AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pusat pemulihan persendirian dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini adalah empat agensi yang kami kumpul (data) setiap tahun.

"Berdasarkan rekod, jumlah penagih lelaki menurun sebanyak 3.9 peratus dan penagih wanita juga menurun sebanyak 7.8 peratus dalam tempoh berkenan.

"Jika melihat dari segi umur pula, dua kes membabitkan kanak-kanak, remaja (1,961 kes), belia (81,112 kes) dan dewasa (39,959)," katanya pada Program JERAYAWARA sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan di Pantai Morib, Banting di sini, tadi.

Muhamad Sade berkata, dari segi latar belakang pekerjaan penagih, sektor awam menunjukkan peningkatan kes sebanyak 1,146 kes pada 2021 berbanding 724 kes pada 2020.

Beliau berkata, pihaknya kini sudah mengenalpasti peranti vape antara alat yang mendorong ketagihan dadah dalam kalangan generasi muda berdasarkan temubual bekas penagih dadah yang hadir mendapatkan rawatan di AADK.

Jelasnya, kebanyakan vape menggunakan dadah sintetik seperti syabu yang boleh menyebabkan penagih mengalami masalah mental seperti berhalusinasi dan seterusnya melakukan perkara tidak sepatutnya.

"Kita belum ada kajian berkenaan perkara itu kerana apabila seseorang itu mengisap vape, kita tidak tahu ia mengandungi nikotin atau dadah sintetik.

"Memandangkan kawalan penggunaan vape ini di bawah KKM, kita sudah mengajukan perkara kepada kementerian berkaitan untuk jalankan kajian," katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan ibu bapa agar tidak menyembunyikan ahli keluarga yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah sebaliknya tampil ke depan membawa mereka kepada AADK bagi mendapatkan rawatan sepatutnya.

"Kami sentiasa menyeru kepada ibu bapa supaya mereka tampil membawa anak mereka (terbabit penagihan dadah) ke AADK. KAMI ada lebih 100 cawangan AADK di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2023 @ 2:44 PM