SUTEKNO ketika menyampaikan ‘pocket talk’ dalam Program Bersama Klien dan Malam Aspresiasi Media di sebuah hotel di Kuala Selangor, malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
SUTEKNO ketika menyampaikan ‘pocket talk’ dalam Program Bersama Klien dan Malam Aspresiasi Media di sebuah hotel di Kuala Selangor, malam tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Selangor: Jumlah penagih dadah di negara ini menunjukkan peningkatan sebanyak 27 peratus sepanjang Januari hingga Jun lalu, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia berdasarkan statistik daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang menunjukkan sebanyak 118,820 penagih dadah direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 93,534 penagih pada tahun lalu.

Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon berkata, berdasarkan trend, lebih 65 peratus penagih dadah dikesan menggunakan dadah jenis sintetik dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan remaja dan belia.

"Dalam tempoh enam bulan pertama ini, pengesanan aktif dilakukan oleh AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan peningkatan tinggi direkodkan.

"Berdasarkan statistik juga, empat negeri yang mencatatkan penyalahgunaan dan penagihan dadah tertinggi berdasarkan nisbah peratusan penduduk adalah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam Program Retreat Bersama Klien dan Malam Aspresiasi Media di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Sutekno berkata, dari segi trend penyalahgunaan dadah pada tahun lalu, tiga sumber bekalan tertinggi diperoleh daripada tokan, kawan dan saudara membabitkan tiga methamphetamine, heroin serta ganja.

"Kita mahu menggandakan usaha bagi menurunkan jumlah individu terbabit dalam penyalahgunaan dan penagihan dadah, daripada 426 orang bagi setiap 100,000 penduduk kepada bawah 400 orang.

"Cara pengiraan kita nak tengok sama ada kadar itu tinggi atau rendah bagi setiap 100,000 penduduk ada berapa jumlah penagih dadah.

"Berdasarkan rekod tahun lalu, setiap 100,000 penduduk, ada 426 penagih dadah. Jadi kita nak turunkan ke bawah 400 orang menjelang 2025," katanya.

Beliau berkata, antara punca dikesan mendorong ramai remaja dan belia menagih dadah adalah golongan itu mempunyai banyak waktu senggang yang tidak diisi dengan aktiviti berfaedah.

"AADK berusaha untuk memastikan bahawa mereka yang mengalami masalah penagihan dadah dapat dikesan awal untuk diberikan rawatan segera.

"Ini kerana rawatan awal lebih baik untuk mengurangkan masalah penagihan dadah menjadi lebih parah lagi.

"Justeru itu, kita mengharapkan kerjasama daripada ahli keluarga terutama ibu bapa untuk menyerahkan anak mereka secara sukarela kepada AADK untuk dirawat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2023 @ 9:16 AM